Choon How lupakan kesakitan
HARGA tinggi perlu dibayar atlet wushu negara Loh Choon How, sebelum berjaya menghadiahkan pingat emas kelima buat Malaysia, hari ini.
Apa tidaknya, Choon How berkata kondisinya tidak berada dalam keadaan terbaik ketika bersaing di World Trade Center, di sini, apabila terpaksa menahan kesakitan di bahagian belakang badan.
Kesakitan itu adalah kecederaan lama yang dialami kira-kira tiga bulan lalu, namun telahpun disahkan pulih sebelum ini.
Bagaimanapun atlet berusia 26 tahun itu berkata kesakitan itu kembali menghantuinya, selepas menamatkan saingan dalam acara taijiquan lelaki semalam, yang menyaksikan beliau turut melakar sejarah tersendiri, menyumbang emas pertama untuk Malaysia.
“Sebelum pergi ke perlawanan ini, saya ada sedikit kecederaan. Tapi sebelum saya pergi ke venue, saya selalu beritahu diri saya yang saya mampu lakukannya, dan apa pun terjadi saya perlu habiskan acara ini,” katanya.
Atlet dari Kuala Lumpur itu mengesahkan pingat emas kelima yang juga emas kedua peribadinya, selepas mengumpul 9.68 mata dalam acara taijijian lelaki.
Beliau menewaskan wakil tuan rumah Jones Llabres Inso yang meraih pingat perak dengan 9.65 mata, sementara Hosea Wong Zheng Yu dari Brunei, meraih gangsa dengan mengutip 9.60 mata.
Bagaimanapun nasib berbeza dialami seorang lagi wakil negara, Chuah Shangyang apabila sekadar menamatkan aksi di tempat ketujuh, dalam acara gabungan nandao dan nangun lelaki, selepas memungut keseluruhan 18.87 mata.
Sementara itu, Pengurus Pasukan Wushu Yong Kheng Chien, menyifatkan kejayaan meraih dua emas setakat ini, secara tidak langsung menggambarkan sukan wushu sentiasa mempunyai bakat baharu untuk diketengahkan pada masa hadapan.
“Kita punya jaguh dulu, Loh Jack Chang namun telah bersara, dan Choon How walaupun dah lama bersama skuad negara, beliau selalu menjadi pilihan kedua.
“Tetapi kali ini adalah peluang di mana Choon How telah buktikan beliau mampu menjadi pengganti, dan telah menunjukkan yang Malaysia masih antara terhebat di Sukan SEA,” katanya. – BERNAMA