Nasional

Parlimen Kimanis: SPR akur keputusan mahkamah

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akur dengan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang membatalkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman bagi kerusi Parlimen Kimanis, Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lepas.

Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun berkata pilihan raya kecil (PRK) Kimanis perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh SPR menerima akuan daripada mahkamah mengenai keputusan itu.

Mesyuarat bagi membincangkan tarikh-tarikh penting PRK itu pula mesti diadakan dalam tempoh tidak kurang daripada empat hari dan tidak lebih daripada 10 hari dari tarikh penerimaan akuan tersebut, katanya menerusi aplikasi Whatsapp.

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan Anifah untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 16 Ogos lepas bahawa kemenangannya di Parlimen Kimanis pada PRU14 tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Calon Parti Warisan Sabah Datuk Karim Bujang memfailkan petisyen pada 18 Jun 2018 bagi mencabar kemenangan Anifah yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN).

Pada PRU14, Anifah yang merupakan bekas Menteri Luar memenangi kerusi Parlimen Kimanis dengan majoriti tipis 156 undi. Beliau memperolehi 11,942 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang Karim yang mendapat 11,786 undi manakala calon Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail yang menerima 1,300 undi.

Sementara itu, Azhar berkata SPR akan mengambil langkah sewajarnya untuk mengelakkan insiden ketidakpatuhan peraturan pilihan raya sehingga menjejaskan keputusan pilihan raya.

“Sebelum ini pun, Akademi Pilihan Raya yang bertanggungjawab melatih petugas-petugas pilihan raya telah diarahkan untuk memberi penekanan terhadap hal ini.

“Perlu dilihat bahawa sejak PRU14, tidak ada lagi apa-apa tuduhan perlanggaran peraturan-peraturan pilihan raya oleh petugas-petugas pilihan raya pada sembilan pilihan raya kecil (PRK),” katanya. — BERNAMA

(Visited 65 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button