Cerita Makcik Kiah jadi trending
CERITA Makcik Kiah oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan pakej ransangan ekonomi bagi menangani kesan penularan wabak COVID-19 menjadi trending.
Kisah Makcik Kiah dilontarkan oleh Muhyiddin bagi memudahkan semua orang memahami kesan langsung kepada rakyat hasil daripada pakej ransangan itu.
Contohnya, Makcik Kiah penjual goreng pisang yang duduk di PPR Desa Tun Razak, yang suaminya adalah pesara kerajaan dan sekarang ini bawa Grab. Anak Makcik Kiah adalah peminjam PTPTN.
Pendapatan isi rumah Makcik Kiah di bawah RM4,000 sebulan. Dengar baik-baik. Saya nak bantu buat pengiraan berapa keluarga Makcik Kiah akan dapat. 19 Keluarga Makcik Kiah akan dapat Bayaran Prihatin Nasional sebanyak RM1,600, baki BSH sebanyak RM600, bantuan pesara sebanyak RM500, bantuan tunai e-hailing sebanyak RM500 dan bantuan orang bujang sebanyak RM800.
Kalau suami Makcik Kiah berkhidmat dengan RELA, dia akan dapat RM200 sebulan sehingga wabak berakhir. Keseluruhan pemberian tunai yang keluarga Makcik Kiah akan dapat ialah sekurang-kurangnya RM4,200. Selain itu, keluarga Makcik Kiah juga akan dapat penjimatan sewa PPR selama 6 bulan sebanyak RM744, penjimatan penangguhan pinjaman kenderaan selama 6 bulan sebanyak RM1,800, penjimatan bayaran bil elektrik selama 6 bulan sebanyak RM120.
Anak Makcik Kiah juga akan dapat penjimatan daripada penangguhan bayaran balik PTPTN selama 6 bulan sebanyak RM1,200. Kalau Makcik Kiah ada buat pinjaman kredit mikro untuk perniagaan goreng pisang dengan bayaran balik pinjaman sebanyak RM100 sebulan, Makcik Kiah akan dapat penjimatan sebanyak RM600. 20 Keseluruhan penjimatan ialah sebanyak RM4,464.
Jadi, keseluruhan nilai manfaat yang akan diterima oleh keluarga Makcik Kiah termasuk pemberian tunai dan penjimatan ialah sebanyak RM8,664.
Jadi Makcik Kiah pun dah boleh tersenyum sikit dengar kiraan yang saya buat.
Langkah yang telah diperkenalkan dalam Pakej ini juga bertujuan untuk memastikan aktiviti ekonomi negara berterusan, terutamanya dengan penyaluran tunai melalui Bantuan Prihatin Nasional.
BERKAITAN:
- Subsidi upah elak pembuangan pekerja ketika wabak Covid-19
- Pakej Prihatin: Teks penuh pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin
- COVID-19: Kerajaan peruntuk RM1 bilion jamin bekalan makanan
Cerita Makcik Kiah ini merupakan analogi yang digunakan oleh Muhyiddin ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat berjumlah RM250 bilion hari ini.
Pakej Prihatin itu bertujuan untuk meringankan beban rakyat daripada semua peringkat yang kehidupan mereka terjejas akibat wabak Covid-19.
Pakej berjumlah RM250 bilion akan memberi manfaat kepada semua dengan hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat.
Sebanyak RM100 bilion lagi untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM2 bilion untuk memperkukuh ekonomi negara.
Manakala sebanyak RM20 bilion telah diumumkan dalam pakej rangsangan sebelum ini.
Pakej PRIHATIN ini akan menyediakan bantuan segera untuk meringankan beban yang ditanggung oleh anda semua.
“Sama ada anda seorang nelayan di Kukup, Johor atau pekebun kecil di Jeli, Kelantan. Anda pengusaha chalet di Cherating atau penarik beca di Melaka, peniaga pasar malam di Kuala Lumpur atau pasar tamu di Kundasang.
“Anda semua akan menikmati manfaat daripada pakej rangsangan ekonomi yang peduli rakyat ini. Seperti yang saya sebutkan, tiada golongan yang akan tercicir,” tegas Muhyiddin. – SM