CEKD catat premium 12 sen di awal dagangan
KUALA LUMPUR 29 Sept. – CEKD Bhd., mencatat premium 12 sen di awal dagangannya di Papan ACE Bursa Malaysia hari ini.
CEKD Bhd adalah penyedia rumusan acuan pemotong serta pengilang acuan pemotong dan pedagang barangan pengguna berkaitan, alat-alat dan aksesori.
Saham CEKD dibuka pada 60 sen, iaitu premium 12 sen atau 25% lebih tinggi berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 48 sen, dengan jumlah dagangan sulung sebanyak 6,286,100 saham.
Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif CEKD Berhad, Datuk Zulkifli Adnan berkata, pihaknya cukup gembira dengan prestasi hari pertama penyenaraian syarikat ini di Papan ACE dan berbesar hati dengan penerimaan para pelabur terhadap IPO CEKD.
“Syarikat ini adalah peneraju dalam penyediaan rumusan bagi acuan pemotong di Malaysia, dan kami percaya IPO ini akan memberi Kumpulan ini lebih ketrampilan dan membantu perluasan perniagaan kami. Ia akan membantu kami bukan sahaja mengekalkan pelanggan di Malaysia tetapi juga membantu meneroka pasaran lain di Asia Tenggara dan Timur Tengah,’’ katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, sebagai satu-satunya pakar acuan pemotong di Asia Tenggara yang diperakui oleh Bobst Mex SA, peneraju global dalam pembekalan mesin dan perkhidmatan kepada industri pembungkusan dari Switzerland, pihaknya merancang pasca-penyenaraian untuk meluaskan operasi dan perkhidmatan pembuatan di pasaran sedia ada, serta mengukuhkan kedudukan CEKD di Asia Tenggara dan Timur Tengah.
“Kami percaya bahawa terdapat banyak peluang yang kami boleh terokai di pasaran-pasaran ini berikutan pertumbuhan di dalam industri E&E, plastik dan pembungkusan, automotif dan juga tekstil serta kulit.’’ tambahnya.
Antara produk CEKD ketika ini dihantar ke pasaran di Australia, Vietnam, Thailand, Filipina dan Timur Tengah, Malaysia merupakan 85 peratus perolehan keseluruhan syarikat bagi tempoh kewangan berakhir 31 Mac 2021.
Pelanggan-pelanggan CEKD ketika ini kebanyakannya dari industri percetakan dan pembungkusan, elektrik dan elektronik, automotif, pembungkusan plastik, tekstil dan kulit.
Susulan dari penyenaraian hari ini,
M&A Securities Holdings Bhd merupakan penasihat, penaja, penaja jamin tunggal dan agen penempatan bagi proses IPO syarikat.