Catat rekod MBOR ceramah 12 hari di 37 sekolah selama 37 jam
Seorang penjawat awam berjaya memahat nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori ‘Bilangan Ceramah Moral Terbanyak Yang Disampaikan Seorang Individu’ selepas memberikan ceramah selama 12 hari di 37 sekolah selama 37 jam.
Affendi Rajini Kanth, 44, anak kelahiran Perlis yang bertugas sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik di Pejabat Setiausaha kerajaan negeri Pulau Pinang melakukan jelajah solo menunggang motosikal jenis BMW RT1200 pada 18 hingga 30 April 2019 melibatkan 12 Parlimen di Semenanjung Malaysia untuk mendekati Gen-Y.
Affendi memilih beberapa sekolah secara rawak, purata tiga sekolah bagi setiap Parlimen untuk menyampaikan ceramah dalam masa satu jam yang memberi pengisian nilai-nilai murni bagi generasi muda hari ini yang lebih sibuk dengan alatan sehingga wujud jurang kasih sayang antara keluarga.
“Berdasarkan kajian rambang yang saya lakukan, kasih sayang, nilai murni dan nilai peradaban semakin kurang dalam kalangan mereka (Gen-Y) dan ada yang mengaku bersalam dengan ibu bapa pada hari raya sahaja.
“Mereka juga lebih mempercayai rakan berbanding ibu bapa sendiri selain suka membuat keputusan sendiri dan saya mengambil langkah ini untuk memberi perkongsian ceramah berkaitan nilai moral,” katanya ketika ditemui Bernama selepas Majlis Penganugerahan Malaysia Book Of Records di Kangar.
Terdahulu Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan majlis tersebut sekali gus menyampaikan plak penghargaan kepada Affendi.
Berangkat sama Raja Puan Muda Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Affendi yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Perlis (YKP) menerima tajaan utama daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selain mengeluarkan perbelanjaan peribadi RM60,000 untuk merealisasikan hasrat murninya itu.
Untuk rekod, Affendi mula bergerak dari Perlis ke Kuala Lumpur dengan memberi ceramah pertama di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Setiawangsa, sebelum meneruskan perjalanan ke Johor diikuti Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan berakhir di Kedah.
Katanya dia juga merancang untuk mengadakan jelajah fasa kedua ke kepulauan Borneo Sabah dan Sarawak sekiranya ada rezeki lebih dan penyumbang.
— BERNAMA