Nasional

Catat jualan RM1.6 juta di Grand Bazar Ramadan Jalan Hang Tuah

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 25 April – Tidak sampai 23 hari Grand Bazar Ramadan (Melgrab) beroperai sejak hari pertama Ramadan,
kecerian peniaga sudah terbayang apabila keseluruhan hasil jualan daripada 128 peniaga mencatat sebanyak
RM1.6 juta.

Usaha sebuah syarikat memberanikan diri dan sanggup mengambil risiko mengadakan semula bazar berkenaan
selepas sepi tahun lalu akibat pandemik Covid-19, harus dipuji dan menyaksikan ia kembali meriah seperti
tempoh empat tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh
berkata, catatan jualan tersebut menunjukkan Melaka sudah kembali kepada ekonomi asal yang sebelum ini
terjejas akibat wabak Covid-19 dalam tempoh dua tahun itu.

Ab. Rauf Yusoh (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan berjumlah RM7,070.70 kepada madrasah hasil dana terkumpul di Grand Bazar Ramadan, Jalan Hang Tuah, Melaka.

Menurutnya, para peniaga di bazar di sini telah berjaya dapat menjana ekonomi mereka sepanjang bulan
Ramadan ini apa lagi sebanyak 95 peratus gerai jualan dipenuhi.

“Lebih mengejutkan sambutan daripada masyarakat di negeri ini amat mengalakkan dan saya difahamkan
sehingga pukul 1.30 pagi masih ada lagi pengunjung membeli-belah di bazar ini.

“Siapa sangka jumlah yang terkumpul hasil jualan sejak hari pertama bazar ini dibuka mencecah RM1.6 juta.
Kita lihat masyarakat mempunyai daya beli yang cukup baik dan dapat menjana ekonomi pulih semula selepas
terkesan selama dua tahun,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Melgrab dan menyaksikan persembahan artis
tersohor, Awie di sini malam tadi.

Yang turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Ibrahim Durum; Pengerusi Jawatankuasa
Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya
Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Zainal Abu.

Tahun lalu, bazar yang pernah diiktiraf sebagai yang terbesar pernah wujud di negeri ini sebelum penularan
pandemik Covid-19, sepi apabila terdapat hanya antara tiga hingga lima peniaga berniaga di bazar
berkenaan.

Pada tahun 2020 pula, sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerajaan tidak membenarkan
sebarang bazar Ramadan atau Aidilfitri beroperasi berikutan penularan Covid-19.

Mengulas lanjut Ab. Rauf berkata, beliau memuji sebuah syarikat yang sanggup mengambil risiko menganjurkan
semula bazar berkenaan hingga memeriahkan kembali Jalan Hang Tuah sepanjang Ramadan ini.

Menurutnya, beliau turut mengalakkan mana-mana syarikat dari luar negeri ini untuk datang ke negeri ini
serta melabur bagi menjana ekonomi baharu selepas memasuki fasa endemik, 1 April lalu.

“Bukan sahaja pasaran di sepanjang Jalan Hang Tuah sahaja tetapi juga di seluruh bazar Ramadan di negeri
ini mendapat sambutan luar biasa daripada pengunjung,” ujarnya.

 

(Visited 274 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button