Nasionalpilihan

Cari ibu kandung untuk ambil anak angkat

Seorang wanita dari Taman Rambai Utama dekat sini sedang mencari ibu kandung kepada anak angkatnya, Nur Muhammad Adam, 11, bagi memudahkan urusan pengambilan anak angkat dan membuat MyKad.

Kanak-kanak tersebut yang tinggal bersama keluarga angkatnya tidak mempunyai sebarang dokumen melainkan sijil kelahiran yang baru diperoleh Mac tahun ini.

Nur Syahilah Iskandar, 39, berkata, Nur Muhammad Adam adalah anak kepada sepupunya yang tidak lagi mampu menjaga anaknya kerana tidak mempunyai sebarang pekerjaan.

Nur Muhammad Adam.

Menurutnya, bapa kanak-kanak itu warga tempatan manakala ibunya warga Indonesia tetapi telah menghilangkan diri sejak lebih tiga tahun lalu.

Katanya, dia memohon perakuan anak angkat bagi memudahkan Nur Muhammad Adam memiliki MyKad dan dapat bersekolah seperti kanak-kanak seusianya.

“Anak angkat saya tidak pernah bersekolah sebelum ini kerana tidak memiliki sebarang dokumen termasuk sijil kelahiran.

“Justeru, saya dalam proses untuk mendapatkan MyKad tetapi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memerlukan persetujuan ibu kandung secara rasmi bagi memudahkan urusan.

“Selain itu baru-baru ini saya berjumpa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka Tengah bagi proses perakuan anak angkat secara sah dan mereka menyarankan saya mencari ibu kandungnya bagi memudahkan prosedur.

“Namun usaha saya mencari ibu kandung yang dikenali sebagai Yusmah dan tinggal di Pantai Dalam, Kuala Lumpur gagal dikesan,” ujarnya kepada pemberita di Cheng di sini semalam.

Nur Syahilah yang juga seorang guru di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tinggi Cina berkata, dia berhasrat untuk mengambil Nur Muhammad Adam sebagai anak angkat selepas mendapati sepupunya tidak berupaya menjaganya.

“Saya sedih melihat anak saudara saya tidak pernah bersekolah serta tidak memiliki MyKad dan masa depannya akan menjadi masalah,” ujarnya yang masih belum berkahwin.

Ujarnya, dia menerima kehadiran kanak-kanak itu untuk dijaga daripada sepupunya Hussin Abd. Hamid, 62, pada 3 Jun lalu serta membuat laporan di Balai Polis Tanjong Minyak.

Katanya, dia amat berharap dapat menemui Yusmah bagi memudahkan urusan mengambil anak angkat dan memerlukan kehadiran ibu kandung kanak-kanak berkenaan di pejabat JKM Melaka Tengah. – SM

(Visited 154 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button