Calon Taboh Naning mahu teruskan legasi membantu masyarakat
Oleh Osman Lisut
Pengalaman mengikut ayah menemui petani dengan menyediakan perkhidmatan mengisar dan memesin padi, mendekatkan calon N05 Dun Taboh Naning, Abu Hashim Abd Samad untuk neneruskan legasi itu bagi membantu masyarakat.
Beliau berkata, ia berlaku pada tahun 1970an, apabila bapa bekerja di Koperasi Padi Naning sebagai operator mesin berkenaan mengunjungi kampung-kampung yang penduduknya menanam padi bagi menawarkan perkhidmatan nya.
Kami begitu gembira kerana dapat memudahkan petani mengisar padi menjadi beras di hadapan rumah, tanpa perlu berkayuh basikal berpuluh kilometer semata-mata untuk mendapatkan sekampit beras.
Ia menimbulkan satu keinsafan dan bertekad suatu hari nanti saya ingin ikut jejak langkah berbakti kepada masyarakat.
Ini saya buktikan dengan penubuhan Koperasi Masjid Melekek Luar sejak beberapa tahun dengan memberi harga istimewa jauh lebih murah berbanding kedai runcit atau pasaraya. Malah setiap tahun diadakan jualan infaq RM100 sumbangan orang ramai di mana masyarakat boleh mengambil barangan dengan nilai berkenaan.
Kejayaan itu, seakan memberi idea buat Pengerusi Koperasi itu mencadangkan supaya pengurusan masjid-masjid di Taboh Naning khususnya, seluruh Melaka amnya memiliki koperasi berkenaan.
Harapan saya masjid dijadikan One Stop Centre, di mana institusi bukan sahaja dijadi tempat beribadat semata-mata, sebaliknya urusan muamalat, menyambung ukhuwah, silaturahim dan penganjuran program mengikut syariah.
Matlamat penubuhan koperasi ini hanya untuk meringankan bebanan masyarakat yang terkesan akibat pandemik covid-19, di samping dapat menjana ekonomi penduduk yang mengeluarkan produk makanan berskala kecil yang menjadi sumber pendapatan.