Calon PM: PKR sedia berbincang
PARTI Keadilan Rakyat (PKR) sedia berbincang mengenai calon perdana menteri daripada Pakatan Harapan.
Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, walaupun sebarang keputusan di peringkat Pakatan Harapan perlu diputuskan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan.
Tegas beliau, sebarang cadangan baharu tidak harus dijadikan mainan politik peribadi oleh mana-mana pihak.
“Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR telah mengadakan mesyuarat bulanan hari ini dan telah membincangkan beberapa perkara termasuk pendirian parti dalam isu calon Perdana Menteri, mandat rakyat dan persediaan bagi Pilihanraya Umum ke-15.
“Walaupun PKR telah menyatakan pendirian dalam isu calon Perdana Menteri sebelum ini, PKR sedia untuk berbincang namun sebarang keputusan di peringkat Pakatan Harapan perlu diputuskan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan.
“Sebarang cadangan baharu tidak harus dijadikan mainan politik peribadi mana-mana tokoh,” kata Saiffuddin dalam satu kenyataan hari ini.
Saiffuddin juga berkata, PKR kekal dengan pendirian bahawa mandat rakyat mesti dipulangkan ke tempatnya pada kadar segera dan dalam bentuk yang telah diberi oleh rakyat kepada Pakatan Harapan pada Pilihanraya Umum ke-14.
Ini termasuk dalam isu peralihan kuasa dari Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Media semalam melaporkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengesahkan beliau bersama Parti Amanah Negara, Parti Warisan Sabah (Warisan) dan DAP mencalonkan Datuk Seri Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri Kesembilan.
- Shafie calon PM, Anwar TPM 1 dan Mukhriz TPM 2
- Syafie PM, Anwar TPM 1, Mukhriz TPM 2 hanyalah sebagai pilihan
Katanya, keputusan tersebut dibuat selepas beliau mengadakan perbincangan tidak rasmi bersama Shafie; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Turut hadbir beberapa Ahli Parlimen lain seperti Anthony Loke, M. Kulasegaran, Liew Chin Tong dan Tan Kok Wai dalam satu pertemuan di Rumah Tetamu Sabah dekat sini dua hari lalu.
Tambah Dr. Mahathir, mereka turut bersetuju untuk mencadangkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Timbalan Perdana Menteri 1 manakala anaknya, Datuk Seri Muhriz Mahathir sebagai calon Timbalan Perdana Menteri 2.
Bagaimanapun Mohamad Sabu dan Guan Eng berkata, cadangan menamakan Presiden Warisan itu sebagai calon perdana menteri akan dibincangkan di peringkat kepimpinan Amanah dan DAP serta dibawa ke mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) untuk diputuskan secara bersama.
Menurut mereka, pertemuan beberapa pimpinan DAP dan Amanah sebelum ini dengan Dr Mahathir merupakan pertemuan tidak rasmi.
PKR sebelum ini menegaskan mereka mahukan Anwar sebagai calon perdana menteri dari Pakatan Harapan dan menolak cadangan bagi mencalonkan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ke-9.
“PKR tetap terbuka untuk berbincang dengan semua pihak termasuk Tun Dr Mahathir demi usaha menyelamatkan Malaysia dan mengembalikan mandat rakyat ke tempatnya.
“Walau bagaimanapun, parti memutuskan untuk tidak menyokong cadangan mencalonkan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri, dan kekal dengan konsensus Pakatan Harapan mencalonkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri,” kata Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.-SM