Calon PM: Jika Anwar tidak mampu, beri peluang kepada Shafie – Guan Eng
PRESIDEN PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Warisan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menjadi pilihan Lim Guan Eng untuk jawatan Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan kembali berkuasa.
Menurut Setiausaha Agung DAP itu, beliau yakin salah seorang daripada mereka mampu untuk mendapatkan sokoang daripada anggota parti dan ahli Parlimen untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri.
Bagaimanapun, menurut Setiausaha Agung DAP itu, Shafie perlu diberi peluang dan penghormatan sekiranya Anwar tidak mendapat sokongan.
“Kami menyokong Anwar untuk mendapat jumlah itu, tetapi jika beliau tidak mampu, kami perlu memberi Shafie peluang dan penghormatan sewajarnya kepada PM pertama dari Malaysia Timur,” kara Guan Eng dalam satu laporan yang disiarkan oleh FMT hari ini.
Sebelum ini DAP dan Amanah mahu Tun Dr. Mahathir Mohamad terus diberikan peluang untuk menjadi calon perdana menteri Pakatan Harapan untuk Pilihan Raya Umum ke-15.
Bagaimanapun cadangan itu ditolak oleh pemimpin Parti Keadilan Rakyat yang mahukan presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.
Cadangan PKR itu bagaimanapun ditentang oleh beberapa pihak dalam PH sehingga nama Shafie disebut sebagai calon Perdana Menteri.
Sehingga ini Pakatan Harapan masih berbelah bahagi mengenai calon perdana menteri gabungan itu. Isu tersebut masih lagi tergantung.-SM