Negeri

Pegawai muda APM perlu sentiasa peka, bersedia berkhidmat – Raja Muda Perlis

ARAU, 19 Sept — Pegawai Muda Angkatan Pertahanan Awam (APM) perlu sentiasa peka dengan kedaaan terkini dan bersedia untuk berkhidmat pada bila-bila masa diperlukan, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda  yang juga Tuanku Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bertitah mereka juga harus tahu tindakan yang perlu diambil apabila berhadapan sesuatu keadaan.

“Pegawai Muda juga perlu bersiap sedia berkhidmat dan bergabung tenaga dengan badan beruniform lain sebagai barisan hadapan bagi membantu dan menyelamat mangsa yang terkesan akibat sebarang trauma,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian di Majlis Pentauliahan Kor Siswa-Siswi Pertahanan Awam Peringkat Kebangsaan Kali Ke-11 di UniMAP di sini, dan turut hadir ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, serta Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab.

Hari ini seramai  301 orang pegawai kadet ditauliahkan dengan gelaran Pegawai Muda berpangkat Leftenan Muda.

Sementara itu Roslan berkata kekurangan anggota tetap menyebabkan pihaknya terpaksa menghantar anggota dari ibu pejabat dan pusat latihan bagi membantu mereka yang bertugas di lapangan seperti di pusat kuarantin COVID-19 yang terdapat di setiap daerah.

“Dengan keadaan sekarang, APM memerlukan sekurang-kuranganya 3,000 anggota bagi seluruh negara iaitu pertambahan sekitar sekali ganda,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata skop tugas anggota APM kini bukan hanya tertumpu kepada operasi menyelamat sahaja tetapi turut sama membantu pasukan barisan hadapan lain dalam menangani COVID-19, dan menurutnya bagi setiap daerah, APM memerlukan empat hingga lima orang anggota tetap berbanding hanya seorang anggota sebelum penularan pandemik COVID-19 dalam negara.

— BERNAMA

 

(Visited 619 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button