Politik

Calon PKR wakil kerajaan di Sungai Bakap

CALON yang mewakili Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, akan diumumkan minggu depan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, beliau akan meminta Timbalan Presiden KEADILAN untuk menetapkan tarikh sesuai bagi membuat pengumuman berkenaan.

“(Soal calon) yang itu kita dah senaraikan dan kita ambil calon yang layak, ramai yang layak dan insya-Allah kita umum pada minggu depan.

“(Mengenai) tarikh, saya minta Timbalan Presiden (KEADILAN), Rafizi Ramli untuk umum, tengok tarikh yang sesuai minggu depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Abdul Samad, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini. Tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 22 Jun dan 2 Julai.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 5 Julai.

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang pada Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRK DUN Sungai Bakap adalah daftar pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Bulan April 2024 yang dikemas kini sehingga 24 Mei lalu.

(Visited 12 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button