Cadangan gugurkan LTTE dari senarai pengganas konsisten pendirian PH
BEKAS Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad menjelaskan cadangan yang dibuat oleh beliau agar Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dikeluarkan dari senarai kumpulan pengganas selaras dengan pendirian Kerajaan Pakatan Harapan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.
Jelas Dr. Mahathir, Pakatan Harapan menentang penggunaan beberapa peruntukan undang-undang yang didakwa telah disalahgunakan oleh Kerajaan Barisan Nasional.
Menurutnya, sekiranya LTTE terus dilabel sebagai pengganas mereka yang ditahan tidak boleh diikat jamin sementara menunggu perbicaraan.
“Langkah ini konsisten dengan pendirian kita sebelum pilihanraya 2018 bahawa kita menentang penggunaan beberapa peruntukan undang-undang yang telah disalah guna oleh Kerajaan Barisan Nasional untuk menahan mereka yang menentang pencurian yang mereka lakukan menerusi 1MDB dan juga salah guna kuasa.
“Dan mereka yang menentang ini telah ditahan tanpa dibicarakan dan tidak dibenar ikat jamin. Ini satu travesty of justice ataupun satu ketidakadilan yang melampau,” kata Dr. Mahathir dalam blognya.
Sebelum ini tular di media sosial surat Dr Mahathir bertarikh 12 Februari 2020 ditujukan kepada Menteri Dalam Negeri (KDN), meminta supaya mengeluarkan LTTE dari senarai kumpulan pengganas.
Dalam surat itu, Dr. Mahathir berkata, beliau berpendapat tidak ada sebab Kerajaan PH meneruskan label LTTE sebagai pengganas.
Justeru Dr. Mahathir berpandangan adalah lebih elok jika dikeluarkan LTTE dari senarai pengganas agar mereka yang didakwa boleh diberikan ikat jamin.
“Saya tidak tahu apa tujuan surat bertarikh 12 Februari 2020 yang saya tulis kepada Menteri Dalam Negeri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan saya masih Perdana Menteri Malaysia, dikeluarkan untuk tatapan umum melainkan untuk memperlihatkan seolah-olah saya penyokong LTTE.
“Saya mencadang supaya Tamil Tigers tidak lagi dilabel sebagai terrorists kerana Kerajaan Sri Lanka sendiri, di mana pertembungan mereka dengan Tamil Tigers berlaku, tidak lagi melabel kumpulan dan pengikutnya sebagai terrorists,” kata Dr. Mahathir.
Dr. Mahathir juga berkata, beliau dimaklumkan oleh Peguam Negara pada masa itu bahawa tidak ada bukti kukuh untuk mendakwa penyokong LTTE di bawah undang-undang penganas.
Menurut Dr. Mahathir beliau hanya memberi pendapat kepada menteri yang bertanggung jawab dan ia bukan satu arahan.
“Bagi saya, jika Kerajaan dan Peguam Negara pada hari ini merasa terdapat bukti yang kukuh untuk mendakwa mereka, seharusnya mereka memulakan proses perundangan yang sewajarnya.
“Saya berharap tidak berlaku kezaliman apabila menegakkan keadilan dan melaksanakan undang-undang.
Sekian, terima kasih,” kata Dr. Mahathir.
Dr. Mahathir turut menerangkan mengapa beliau menggunakan Hamas sebagai contoh dalam surat tersebut.
“Berkaitan dengan Hamas, saya gunakannya sebagai contoh di mana kita tahu masyarakat dunia memang melabel Hamas sebagai kumpulan terrorist.
“Tetapi kita tidak pernah bersetuju dengan dakwaan ini. Semua tahu bagaimana kita telah beri bantuan kepada Hamas di Gaza. Kita juga telah terima lawatan pemimpin tertinggi Hamas, Ismail Haniyeh pada 22 Januari 2020. Saya sendiri telah mengadakan perbincangan dengan pemimpin Hamas ini,” tegas Dr. Mahathir.-SM