Ekonomi

Bursa Malaysia pulih semula

Bursa Malaysia menamatkan aliran menurun selama empat hari berturut-turut hari ini. Ia ditutup tinggi hari ini, disokong oleh permintaan belian membabitkan kaunter kewangan dan perladangan terpilih di tengah-tengah sentimen berhati-hati di bursa serantau.

Public Bank dan IOI Corp adalah antara kaunter paling untung, masing-masing mengukuh 5.0 sen kepada RM4.55 dan 12.0 sen kepada RM4.24, menyumbang sejumlah 2.97 mata kepada keuntungan dalam indeks komposit.

Pada jam 5 petang, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.26 mata atau 0.28 peratus kepada 1,535.56 berbanding penutupan Selasa pada 1,531.30, selepas berlegar antara 1,531.22 dan 1,538.82 sepanjang hari.

Petunjuk utama itu dibuka 0.47 mata lebih tinggi pada 1,531.77 pada permulaan dagangan pagi ini.

Namun begitu, pergerakan harga di pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung 586 berbalas 310 manakala 437 kaunter tidak berubah, 976 tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung.

Jumlah dagangan menyusut kepada 2.34 bilion unit bernilai RM1.80 bilion daripada 3.60 bilion unit bernilai RM2.09 billon pada Selasa.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata pasaran serantau menunjukkan trend bercampur-campur selepas sentimen pasaran terjejas oleh keputusan bank pusat AS yang menyokong dua lagi kenaikan kadar faedah yang besar seawal Jun dan Julai untuk memerangi paras tertinggi inflasi.

Pada masa yang sama, pelabur turut mengambil pendekatan tunggu dan lihat untuk menilai kesan sebenar.

“Di pasaran domestik pula, FBM KLCI menyaksikan beberapa aktiviti memburu saham murah. Namun begitu, minat belian masih lemah dalam ketidaktentuan global dan peningkatan risiko pasaran. Kami menjangkakan sentimen pelabur kekal gelisah.

‘Bagaimanapun, kami meramalkan terdapatnya aktiviti pengumpulan saham berterusan ketika berlakunya penurunan.

“Oleh itu, kami mengunjurkan FBM KLCI kekal dalam mod stabil dan berlegar dalam julat 1,525-1,545 untuk baki minggu urus niaga ini. Dari segi teknikal, kami melihat sokongan serta-merta pada 1,520 dan rintangan pada 1,560,” katanya.

Di peringkat serantau, Indeks Straits Times Singapura jatuh 0.16 peratus kepada 3,189.81, Nikkei 225 Jepun susut 0.26 peratus menjadi 26,677.80, Hang Seng Hong Kong meningkat 0.29 peratus kepada 20,171.27, KOSPI Korea Selatan meraih 0.44 peratus kepada 2,617.22 dan Indeks Komposit SSE China menokok 1.19 peratus untuk mencatatkan 3,107.46.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan CIMB tidak berubah, masing-masing pada RM8.96 dan RM4.95, Tenaga Nasional meningkat 5.0 sen kepada RM9.19 manakala Petronas Chemicals turun 3.0 sen kepada RM9.93.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button