Nasional

Aset AS$1.46 bilion: Jho Low, bapa gagal ketepi injunksi

AHLI perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dan bapanya gagal untuk mengenepikan perintah mahkamah yang menghalang mereka daripada memindahkan atau melupuskan mana-mana aset milik mereka di negara ini masing-masing berjumlah AS$1.03 bilion (RM4.53 bilion) dan AS$401.5 juta (RM1.76 bilion).

Bernama melaporkan ini susulan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Hayatul Akmal Abdul Aziz yang menolak permohonan Jho Low dan Tan Sri Larry Low Hock Peng, untuk mengenepikan injunksi Mareva yang diperoleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan satu daripada anak syarikatnya.

Keputusan itu dibuat hakim selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak semasa prosiding dalam talian hari ini.

Peguam 1MDB, Siva Kumar Kanagasabai berkata, mahkamah menolak permohonan kedua-dua mereka dengan kos RM5,000.

Beliau berkata mahkamah juga memberikan beberapa perintah tambahan termasuk penyampaian kendiri perintah antara pihak itu diketepikan, dan penyampaian dengan meninggalkan salinan di alamat terakhir kedua-dua mereka yang diketahui di Tanjung Bungah dan diserahkan kepada peguam mereka.

Siva Kumar berkata, mahkamah turut memerintahkan Jho Low dan bapanya mematuhi perintah pendedahan inter-parte Mareva (aset dan lokasi mereka) dalam tempoh 14 hari selepas perintah itu disampaikan melalui peguam mereka.

“Jika Jho Low dan bapanya tidak mematuhi perintah pendedahan Mareva antara pihak itu, mereka akan dihalang daripada didengar dalam prosiding, pembelaan mereka akan dibatalkan dan 1MDB akan bebas untuk memohon untuk membuat penghakiman terhadap mereka.

“Mahkamah juga membenarkan permohonan kami untuk meminda writ (saman), tetapi ia berkaitan dengan perkara kecil dalam pengiraan tuntutan. Pengurusan kes seterusnya ditetapkan 13 Jun,” kata peguam itu ketika dihubungi.

(Visited 199 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button