Ekonomi

Untung bersih Bumi Armada meningkat kepada RM185.76 juta

Keuntungan bersih Bumi Armada Bhd melonjak kepada RM185.76 juta dalam suku pertama berakhir 31 Mac 2022 berbanding RM162.79 juta yang dicatatkan pada tahun sebelum ini disebabkan oleh kenaikan hasil selepas operasinya berterusan.

Kumpulan perkhidmatan medan minyak itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia merekodkan hasil sebanyak sebanyak RM529.01 juta pada suku pertama tahun kewangan 2022 daripada RM539.74 juta.

Bagaimanapun, terdapat peningkatan pendapatan berbanding pendapatan suku tahun sebelumnya (suku keempat tahun kewangan 2021) sebanyak RM513.05 juta.

Suku semasa yang ditinjau menyaksikan peningkatan pendapatan daripada segmen operasi berikutan ketersediaan kapal yang lebih tinggi untuk armada fasiliti pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) serta penyediaan perkhidmatan kejuruteraan kepada salah satu kapal FPSO milik bersama kumpulan pada suku pertama 2022.

“Kumpulan itu menyelesaikan pelupusan anak-anak syarikatnya yang memiliki tiga kapal Kelas Ice pada suku berkenaan untuk pertimbangan tunai sebanyak AS$44.5 juta, yang mana hasil tersebut digunakan bagi pengurangan hutang,” katanya.

Turut dijual adalah sebuah kapal sokongan luar pesisir (OSV) pada suku tahun berkenaan sejajar dengan inisiatif pengewangan aset kumpulan.

Sementara itu, tempahan dalam tangan kumpulan menjelang akhir suku pertama 2022 berjumlah RM13.2 bilion, dengan tambahan opsyen sambungan sehingga RM9.0 bilion.

Kumpulan ketika mengulas mengenai prospek berkata pengukuhan harga minyak adalah perkembangan yang baik bagi sektor minyak dan sektor gas, yang menyaksikan peningkatan aktiviti di seluruh rantaian nilai termasuk dalam segmen penyelesaian terapung luar pesisir.

Ia menjangkakan perniagaan akan stabil untuk sepanjang 2022 dan sedang mengejar peluang baharu di pasaran sasaran.

(Visited 321 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button