Ekonomi

Bursa Malaysia melonjak

BURSA Malaysia dibuka tinggi hari ini, didorong sentimen positif dalam pasaran, di samping menjejaki prestasi kenaikan di Wall Street dalam tempoh semalaman yang dipacu oleh harapan mengenai pemulihan ekonomi susulan perintah berkurung semakin dilonggarkan, kata peniaga.

Penurunan mendadak kadar pengangguran di Amerika Syarikat (AS) bagi Mei yang dilaporkan minggu lalu juga menambah keyakinan ekonomi dengan pasaran menjangkakan yang krisis terburuk sudah berakhir dan ekonomi kini bergerak ke arah pemulihan.

Pada 9.07 pagi, penanda aras, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 29.12 mata kepada 1,585.45 daripada 1,556.33 ketika ditutup pada Jumaat.  Indeks utama itu dibuka 16.47 mata lebih tinggi kepada 1,572.80.
Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 561 berbanding 60, sementara 235 kaunter tidak berubah, 1,045 kaunter tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 699.87 juta unit bernilai RM431.57 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd menerusi nota penyelidikan hari ini berkata banyak langkah yang diumumkan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dijangka terus memberikan dorongan kepada pasaran selain pembukaan kembali aktiviti ekonomi secara beransur-ansur.

Ia berkata, unjuran Bank Dunia mengenai pemulihan ekonomi Malaysia bermula pada akhir tahun ini mungkin dapat menambah baik lagi sentimen pasaran.

Firma pembrokeran itu berkata bagi sektor yang menjadi tumpuan, insentif cukai di bawah PENJANA yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat lalu mungkin mendorong sedikit sektor automotif, perladangan dan hartanah untuk bergerak ke hadapan.

Ia berkata mengenai tinjauan teknikal, walaupun penurunan berlaku pada Jumaat lalu, namun pergerakan tersebut adalah terhad susulan pembelian semasa harga rendah yang pantas berasaskan harian dan FBM KLCI masih mencatatkan aliran dagangan meningkat.

“Oleh itu, kami berpendapat kenaikan mungkin berlanjutan kepada paras psikologi 1,600 dengan rintangan sementara pada 1,580. Sokongan ditetapkan pada sekitar 1,530, diikuti 1,500 sebagai paras psikologi,” menurutnya.

Antara saham berwajaran tinggi, Maybank meningkat sembilan sen kepada RM8.17, Public Bank menambah 28 sen kepada RM17.60, Petronas Chemicals naik 25 sen kepada RM6.95 dan IHH Healthcare menokok 13 sen kepada RM5.68.

Tenaga turun 28 sen kepada RM11.68.

Kalangan saham paling aktif, Sapura Energy dan AirAsia X masing-masing naik setengah sen kepada 11 sen, Velesto dan Bumi Armada masing-masing menambah satu sen kepada 18 sen dan 26.5 sen manakala Hibiscus Petroleum meningkat dua sen kepada 70 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 212.66 mata kepada 11,143.44, Indeks FBMT 100 menokok 213.11 mata kepada 11,005.35,

Indeks FBM Emas Syariah naik 221.33 mata kepada 12,528.43, FBM 70 melonjak 310.23 mata kepada 13,702.07 dan FBM ACE meningkat 78.83 mata kepada 5,931.36.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 3.87 mata kepada 142.92, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 270.43 mata kepada 13,996.45 dan Indeks Perladangan menambah 104.60 mata kepada 6,891.62.-BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button