Ekonomi

Bursa Malaysia dibuka tinggi dalam sesi dagangan awal

BURSA Malaysia dibuka lebih tinggi pada dagangan Khamis, dipacu oleh aktiviti memburu saham-saham berharga rendah walaupun Wall Street mencatat prestasi semalaman yang bercampur-campur.

Pada 9.10 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.52 mata kepada 1,598.27 daripada 1,593.75 pada akhir dagangan semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka mengukuh 4.64 mata kepada 1,598.39.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 199 berbanding 147 manakala 262 kaunter tidak berubah, 1,665 tidak diniagakan dan 16 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 250.01 juta yang bernilai RM82.06 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata, saham-saham teknologi berkemungkinan mencatat penurunan daripada aliran kenaikannya baru-baru ini susulan kelemahan prestasi Nasdaq.

“Bagaimanapun, peniaga mungkin memantau faktor pemangkin lain seperti pembukaan semula sempadan, kenaikan harga komoditi serta pemulihan aktiviti pembinaan bagi tujuan perdagangan,” kata firma pembrokeran itu dalam nota tinjauannya, hari ini.

Menurutnya, komoditi menyaksikan harga minyak mentah melebihi paras US$105 setong manakala harga niaga hadapan minyak sawit mentah (FCPO) kekal disokong pada RM6,300 satu tan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button