Nasional

Keluarkan segera peruntukan baiki fasiliti depot uzur

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) diminta supaya menyegerakan peruntukan penambahbaikan fasiliti di depot-depot tahanan Imigresen di seluruh negara yang kebanyakannya sudah uzur.

Keadaan depot-depot yang uzur ini sudah pasti akan gagal untuk menampung jumlah tahanan yang terlalu ramai serta kina meningkat saban waktu.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM),  Khairil Niza Khairuddin berkata demikian dalam satu kenyataan berhubung insiden rusuhan dan tahanan etnik tahanan Rohingya melarikan diri di Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang pada 20 April lalu.

SEBAHAGIAN daripada tahanan Rohingya yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang. ditemukan semula. – GAMBAR HIASAN

Dalam insiden tersebut, 528 tahanan etnik Rohingya telah melarikan diri selepas bertindak merusuh dan memecahkan pintu serta pagar depot tahanan.

Dalam insiden yang sama, enam tahanan meninggal dunia akibat kemalangan dengan kenderaan awam ketika melarikan diri.

Bagaimanapun pihak KPISM mengucapkan terima kasih kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan orang awam yang telah membantu menahan semula tahanan yang melarikan diri dari depot berkenaan.

Khairil Niza berkata, KPISM juga menggesa kerajaan supaya dapat mencapai satu kata putus dan langkah proaktif khas dalam pengurusan tahanan etnik Rohingya.

“Mereka ini tidak dapat diusir keluar berikutan Myanmar tidak mengiktiraf dan tidak mahu menerima etnik Rohingya,” katanya.

Khairil Niza berkata, penolakan Mynmar terhadap etnik itu akan terus menyumbang kepda kesesakan tahanan Rohingya di depot-depot tahanan di seluruh negara.

“Kesesakan ini juga telah meningkatkan pelbagai risiko seperti penularan penyakit dalam depot-depot tahanan, rusuhan, peningkatan kos makan minum tahanan dan lain-lain,” ujarnya.

Beliau juga berkata, KPISM turut memohon Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) agar dapat menyediakan lebih banyak perjawatan untuk menempatkan kakitangan dengan lebih ramai di depot-depot tahanan supaya kawalan keselamatan yang lebih optimum dapat diwujudkan di depot-depot tahanan ini.

“KPISM menyokong penuh usaha JIM dalam sebarang usaha meningkatkan kualiti depot-depot tahanan dan sedia memberikan kerjasama dan buah fikiran dalam mencari solusi terbaik berhubung perkara ini,” katanya. – SM

(Visited 707 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button