Negeri

Bukit St. Paul dikembalikan ke nama asal Bukit Melaka

Bukit St. Paul akan dikembalikan kepada nama asal iaitu Bukit Melaka bagi mengembalikan nilai sejarah bukit berkenaan.

Pengurus Besar  Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Mohd Nasruddin Rahman berkata, nama Bukit Melaka adalah nama yang dikenal sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka.

“Bukit Melaka adalah nama asalnya. Bila penjajah masuk Melaka nama itu ditukar kepada Bukit St. Paul. Jadi, sekarang seolah-olah kita sedang mempromosikan nama gereja yang ada di situ.

“Jadi, kita mahu kembalikan nama itu kepada pemilik asalnya iaitu kerajaan Kesultanan Melayu Melaka,” katanya seperti yang dilaporkan dalam protal berita Melaka Hari Ini.

Menurut Mohd Nasruddin, Perbadanan Muzium Melaka sedang menyiapkan kertas kerja bagi penukaran bukit tersebut.

Related Articles

Kertas kerja berekaan akan dibawa ke peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk diluluskan.

“Kita akan bawa ke mesyuarat Exco dan jika mendapat kelulusan kita boleh tukar nama Bukit St. Paul kepada Bukit Melaka. Ia hanya memerlukan kelulusan sebelum nama itu boleh diwartakan.

“Kertas kerja untuk penukaran nama itu sudah disediakan dan kita akan mengusulkannya dalam masa terdekat,” katanya lagi.

Bukit St. Paul terletak bersebelahan Kota A Farmosa. Nama Bukit St. Paul diambil sempena nama Gereja St. Paul yang pernah dibina di atas bukit itu ketika zaman penjajahan 500 tahun lalu.

Gereja St. Paul dibina pada 1521 oleh seorang Kapten Portugis bernama Duarto Coelho sebagai tanda bersyukur kerana terselamat dari serangan musuh ketika di Laut China Selatan.

Nama bangunan tersebut pada asalnya adalah Nora Senhora dan kemudiannya ditukar kepada Gereja St. Paul oleh Belanda setelah menawan Melaka pada tahun 1641.

Binaan Gereja St. Paul masih ada sehingga kini dan menjadi sebahagian  daripada Kompleks Muzium Melaka -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button