NasionalNegeri

Buah ’emas’ harumanis mula dicuri, lima kes dilapor

SESUAI dengan gelaran buah ’emas’, Mangga Harumanis Perlis kini sudah mula menjadi sasaran pencuri.

Sehingga kini lima kes curi harumanis telah dilaporkan berlaku di dalam kawasan yang melibatkan daerah Padang Besar sejak buah ’emas’ ini sudah dituai mulai bulan ini.

Sohaimee menunjukkan mangga harumanis di kebun miliknya di Balai Baru, Beseri. – Gambar FB

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner, Mohd Shokri Abdullah berkata, kejadian curi harumanis terbaharu berlaku di sebuah kebun harumanis milik Sohaimee Mohd Zain di Balai Baru, Beseri.

Sohaimee, 63 yang merupakan seorang pesara tidak menyangka mangga harumanis yang diusahakan itu hilang 100 kilogram sekelip mata.

“Kesemuanya yang bernilai RM1,200 lesap ekoran dicuri oleh dua lelaki yang masuk ke kebun saya pada pukul 3.20 pagi pada 12 April lalu,” katanya ketika dihubungi Suara Merdeka.

Katanya, pencuri berkenaan didapati telah memecahkan pintu pagar kebun harumanis miliknya itu.

Sohaimee memberitahu, beliau hanya menyedari berlaku kejadian curi harumanis di kebunnya itu pada pukul 12 tengah hari pada tarikh sama.

“Itupun setelah saya mendapat makluman ini menerusi applikasi Kamera Litar Tertutup (CCTV) pada telefon pintar,” katanya.

Bagaimanapun katanya ketika itu dia dalam perjalanan dari Kangar ke Ipoh bagi menghadiri perkhawinan anak saudaranya.

Beliau telahpun membuat laporan polis mengenai kejadian ini pada pukul 9 pagi pada 16 April lalu.

Sohaimee berkata, dia telah memasang CCTV di kebun harumanisnya itu pada bulan Februari lalu.

Katanya, ini merupakan kejadian curi pertama sejak dia mengusahakan kebun berkenaan empat tahun lalu.

Sohaimee juga turut berkongsi perkara kecurian ini di Grup Persatuan Pengusaha Harumanis Perlis (PPHPs) Facebook (FB).

Hanya tinggal sarung sahaja ditinggalkan oleh pencuri ketika memecah masuk kebun Sohaimee untuk mencuri mangga harumanis. – Gambar Ihsan Sohaimee

Beliau turut meletakkan gambar pencuri yang dirakam menerusi CCTV.

Ramai kalangan pengusaha dalam grup ini kesal kerana ada yang mengambil kesempatan di atas keringat orang lain.

Sebenarnya banyak peluang untuk mencari rezeki dengan tanaman harumanis ini antaranya kerja membalut buah yang sangat diperlukan oleh pengusaha. – SM

(Visited 2,317 times, 2 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button