Bola SepakSukan

Bos West Ham, Moyes, dua pemain diuji positif coronavirus

PENGURUS West Ham, David Moyes telah dihantar pulang ke kediamannya dari Stadium London, malam semalam (awal pagi tadi waktu Malaysia) selepas diuji positif coronavirus.

Pertahanan, Issa Diop dan pemain tengah, Josh Cullen turut diarah meninggalkan stadium hanya 45 minit sebelum sepak mula Piala EFL menentang Hull City dilakukan.

Pertahanan remaja, Harrison Ashby dan pemain tengah berpengalaman, Jack Wilshere telah diserapkan dalam kesebelasan utama pada saat terakhir bagi menggantikan Diol serta Cullen.

Penolong Moyes, Alan Irvine telah mengambil alih tanggungjawab pengurus itu untuk perlawanan tersebut yang berkesudahan West Ham membelasah Hull 5-1 dalam aksi pusingan ketiga itu.

“West Ham United mengesahkan bahawa David Moyes, Issa Diop dan Josh Cullen telah diuji positif Covid-19.
“Pasukan perubatan kelab memaklumkan tentang keputusan ujian itu sewaktu pasukan telahpun berada di Stadium London untuk persediaan perlawanan pusingan ketiga Piala Carabao (Piala EFL) menentang Hull City.

“Pengurus dan kedua-dua pemain telah meninggalkan stadium dengan segera dan pulang ke kediaman masing-masing.

“Ketiga-tiga mereka yang tidak menunjukkan sebarang gejala, akan mematuhi peraturan serta protokol yang digariskan oleh Kesihatan Awam England dan Liga Perdana Inggeris.

“Semua yang berada di West Ham United mendoakan yang terbaik buat David, Issa dan Josh,” kata kelab itu menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

Sementara itu, dalam perlawanan yang berlangsung lebih awal melibatkan pertemuan antara Tottenham dan Leyton Orient terpaksa ditunda selepas pasukan Liga Dua itu ditimpa wabak coronavirus.

Berita tersebut hadir hanya beberapa jam selepas Kerajaan United Kingdom (UK) membuat keputusan mengetatkan peraturan kawalan perintah berkurung berikutan kes coronavirus meningkat kembali.

Penonton sepatutnya dijangka dibenarkan hadir ke stadium secara beransur-ansur pada 1 Oktober ini, tetapi perancangan tersebut terpaksa dibatalkan.

Perdana Menteri, Boris Johnson berkata: “Kita perlu menyedari bahawa penyebaran virus itu telah menjejaskan peluang untuk membuka kembali persidangan perniagaan, pameran dan acara sukan yang besar.

“Jadi, kita tidak dapat melaksanakan hasrat itu pada 1 Oktober ini dan saya menyedari implikasi kepada kelab sukan yang telah menjadi kehidupan dan jiwa kepada masyarakat kita dan rakan-rakan saya yang terhormat, Canselor dan Setiausaha Kebudayaan sedang berusaha keras bagi membantu sedaya yang mampu bagi menyokong mereka.” – Daily Express – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button