Politik

Anwar dakwa kerajaan Muhyiddin tumbang

PEMBANGKANG mendakwa pihaknya kini memiliki sokongan majoriti daripada Ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan baharu menggantikan Perikatan Nasional (PN).

Jika benar dakwaan demikian, ini bermakna kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang majoritinya tipis berkemungkinan tumbang.

Namun, hal tersebut masih belum dapat diyakinkan selagi tiada pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong, As Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustaffa Billah Shah.

Bagaimanapun, jika benar situasi politik ini berlaku lagi, maka terdapat dua kemungkinan yang bakal dilihat rakyat Malaysia sama ada peralihan kerajaan ataupun pembubaran Parlimen.

“Alhamdulillah, kini saya telah mendapat sokongan yang kukuh dan meyakinkan dari Parlimen untuk saya persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.


“Dan ingin saya nyatakan disini, majoriti menyokong juga dikalangan Ahli Parlimen Melayu dan Islam.

“Dengan sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan, bermakna pada saat ini kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah jatuh.

“Maklumat dan langkah selanjutnya akan saya maklumkan selepas mengadap Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat insya Allah.”

Demikian kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu sidang akhbar di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur hari ini.

Presiden PKR itu berkata demikian selepas beliau mendakwa sepatutnya mengadap Yang di-Pertuan Agong semalam pada pukul 11 pagi.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan pertemuan itu terpaksa ditangguhkan susulan baginda dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk menerima rawatan.

“Untuk makluman semua, sebenarnya saya telah diperkenankan untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong kelmarin Selasa 22 September pukul 11 pagi.

“Tetapi terpaksa ditangguhkan kerana baginda kini menerima rawatan di IJN.

“Kendati begitu, melalui perbualan telefon malam Selasa lalu, saya telah mendoakan afiah buat ke bawah duli Tuanku,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Port Dickson itu membayangkan beliau bakal menjadi Perdana Menteri ke-9 dalam masa terdekat ini dengan menyatakan janjinya.

Beliau cuba meyakinkan rakyat Malaysia bahawa kerajaannya nanti akan mendokong semua prinsip Perlembagaan Persekutuan.

“ami tetap menjunjung prinsip Perlembagaan yang mengiktiraf kedudukan Islam, kedaulatan Raja-Raja Melayu, memartabatkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi serta kedudukan istimewa Melayu Bumiputera.

“Di samping jaminan tegas mempertahankan hak warga pelbagai kaum lain di negara kita.

“Saya berjanji akan membentuk sebuah kerajaan dengan tata kelola berintegriti dan komited untuk menangani krisis yang melanda negara.

“Menghentikan amalan rasuah dan membela nasib rakyat.

“Insya Allah, saya akan tunaikan janji saya untuk menjadikan negara Malaysia.

“Akhir sekali, saya memohon seluruh rakyat supaya bersabar dan mendoakan kesembuhan segera al afiah Tuanku Yang di-Pertuan Agong,” ujarnya.

Anwar dilihat membuat pengumuman sedemikian ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan berlangsung pada 26 September ini. – SM

 

(Visited 180 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button