PEMBOCORAN maklumat dari dalam kerajaan ke media sosial sama ada dalam negara atau antarabangsa telah dipuji sebagai tindakan ‘whistleblower’ demi kebenaran dan untuk membenteras salahguna kuasa.
Itu yang berlaku ketika zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) dan tidak ada pula dakwaan wujudnya Daulah Terpendam ketika itu.
Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, beliau pernah memegang jawatan menteri dan berpengalaman berinteraksi dengan penjawat-penjawat awam.
“Saya tetap menghargai nasihat dan pandangan mereka dalam perbincangan dan perbahasan kami tatkala saya bercadang mengubah pendekatan dan strategi atau memperkenalkan dasar yang baru.
“Tapi kalau hendak membawa perubahan dan penambahbaik kepada yang sedia ada, kenalah menteri dan penasihat menteri mempunyai halatuju yang jelas dan berasas kepada realiti.
“Kalau tidak, bukan Daulah Terpendam yang menggagalkan tapi kelemahan pemikiran menteri itu yang terdedah kepada khalayak ramai,” katanya.
Istilah Daulah Terpendam ini mula dibangkitkan oleh Menteri Luar, Saifudin Abdullah, yang pertama mendakwa wujudnya ‘Daulah Terpendam atau ‘Deep State’ dalam kalangan pentadbiran negara.
Saifuddin mendakwa itu adalah alasan mengapa PH terpaksa membatalkan ratifikasi kepada Statut Roma.
Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad turut mendakwa kemungkinan ‘coup d’etat’ atau rampasan kuasa kalau PH teruskan ratifikasi Statut itu!
Menurut Shahrir jalan yang mudah untuk menutup kelemahan sendiri ialah dengan menukar keluar pegawai serta menyalahkan Daulah Terpendam.
“Itu sebabnya, kesatuan sekerja – MTUC dan CUEPACS – sudah mula menyuara kebimbangan mereka tentang penindasan terhadap penjawat-penjawat awam.
“Sepatutnya kerajaan PH lebih baik dari BN kerana ia dipimpin oleh seorang perdana menteri yang paling panjang tempoh perkhidmatannya.
Malah katanya, ada juga menteri PH yang pernah menjadi timbalan perdana menteri, menteri besar dan menteri semasa dalam BN selain ada yang pernah jadi menteri besar dan ketua menteri setelah menumbangkan BN di negeri-negeri sendiri,” katanya.
“Masa itu, tidak terdengar pula adanya Daulah Terpendam ini. Sudah pun 18 bulan PH memerintah. Tidak terbongkar lagi siapa yang menguasai dan menganggotai Daulah Terpendam ini. Yang terbongkar ialah kelemahan dan tahap kebolehan PH sendiri.
“MTUC dan CUEPACS mewakili golongan pekerja. Sebagai pekerja, mereka adalah golongan pelaksana. Mereka sudah pun resah memerhatikan gelagat pemerintah yang masih tidak mantap dan halatuju. Kerana itu, mereka bersuara.
“Cukup-cukuplah dengan dakwaan yang mengarut dan menyalahkan orang bawah!” Katanya, – SM