Bob Tutupoly meninggal dunia pada usia 82 tahun
PENYANYI legenda Indonesia, Bob Tutupoly, 82, menghembuskan nafas terkahir semalam selepas menderita sakit sejak sekian lama.
Memetik laporan media tempatan, berita duka itu turut disahkan oleh isterinya, Rosmayasuti Nasution.
“Telah pulang ke rumah bapa di syurga dalam damai suami/papa/opa/oom kami tercinta Bob Tutupoly,” katanya.
Turut berkongsi berita terbabit adalah rakan-rakan selebriti Indonesia.
“Bob Tutupoly, selamat berpulang. Karyamu akan terus jadi legenda,” tulis Tompi menerusi akaun Twitternya.
Difahamkan jenazah Bob akan disemadikan di Rumah Duka RS Siloam Semanggi.
Bob Tutupoly atau nama asalnya, Bobby Willem Tutupoly merupakan penyanyi legenda tanah seberang yang dilahirkan di Surabaya pada 13 November 1939 dan mula menceburkan diri dalam bidang seni pada 1965 bersama Patie Bersaudara.
Antara lagu hit dendangan beliau selain Widuri ialah Lidah Tak Bertulang, Tiada Maaf Bagimu dan Tinggi Gunung Seribu Janji.
Pada 1969 Bob ke Amerika Syarikat dan membuka sebuah restoran, Pertamina di New York.
Selepas pulang ke Indonesia pada 1977, Bob popular apabila membawakan lagu Widuri, ciptaan Slamet Adriyadi yang masih malar segar sehingga kini.
Sepanjang karier, Bob memiliki beberapa buah album serta pernah terbabit dalam dunia lakonan menerusi Gli Innamorati Della Becak (Kisah Cinta si Tukang Becak) (1958), Penasaran (1977), dan Sebelah Mata (2008).