Agama

Jemaah haji harus jadi agen perubahan

LEBIH 14,000 jemaah haji dari Malaysia kini berada di Mekah bagi menunaikan ibadah haji.

Mereka sebahagian daripada lebih sejuta umat dari seluruh dunia dibenarkan oleh kerajaan Arab Saudi untuk menunaikan Rukun Islam kelima. Jumlah itu ada berkurangan separuh daripada jumlah jemaah pada kebiasaan musim haji, ekoran seluruh dunia masih belum bebas daripada penularan wabak Covid-19.

Justeru itu juga jemaah haji dinasihatkan melaksanakan niat haji bersyarat jika terhalang oleh pihak berkuasa yang mungkin menutup semua tempat untuk melaksanakan haji jika berlaku penularan wabak dan sebagainya.

Niat bersyarat itu bagi mengelakkan ihram tergantung dan menyebabkan jemaah terpaksa terikat dengan larangan berihram.

Jika perkara demikian berlaku maka tiada haji bagi tahun ini, kecuali sempat wukuf di Padang Arafah. Jika itu ketentuan Allah maka para jemaah perlu menerima dengan penuh keinsafan dan bukan mempertikai keputusan pihak berkuasa.

Sepanjang berada di tanah suci ini para jemaah bukan sahaja melakukan umrah dan tawaf sunat, bahkan menghadiri kuliah agama hampir setiap waktu solat.

Selain melombong pahala, para jemaah juga dapat meningkat kefahaman tentang beragama dan perkara yang dituntut oleh Allah serta disukai oleh Rasulullah.

Di dalam sebuah hadis Rasulullah bersabda:

مَنْ يُرِدِ اللهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّيْنِ

“Siapa yang Allah  kehendaki kebaikan baginya, Allah pahamkan atasnya perihal agama.” Hadis riwayat Imam Al-Bukhori.

Kefahaman yang diperolehi seharusnya bukan sahaja digunakan untuk diri sendiri sahaja, tetapi perlu menjadi agen kepada masyarakat.

Dalam kekalutan letusan media sosial hari ini, para jemaah haji perlu menjadi orang yang meredakan ketegangan dan memperjelaskan isu bagi mengelakkan timbulnya fitnah terhadap ulama dan umat Islam seluruhnya.

Hubungan dengan para pembimbing haji perlu diteruskan bagi membolehkan dijadikan tempat rujukan apabila berlaku atau timbul isu berkaitan agama.

Ustaz Haji Mohd Shukri bin Haji Ali dalam kuliyah kepada jemaah haji Mekah berkata para jemaah perlu menjadi agen perubahan masyarakat.

Beliau menekankan kepada pentingnya solat jenazah, di mana kaedahnya boleh dipelajari dalam masa dua minit, tetapi pahalanya sebesar Gunung Uhud.

Jika di Masjidil Haram para jemaah dapat melaksanakan solah jenazah setiap waktu pada setiap hari, ia harus diteruskan apabila pulang ke tanah air.

Jenazah
diampunkan Allah

Daripada Abdullah Ibn Abbas radiallahuanhu bahawa anak lelakinya telah meninggal dunia di Qudaid atau di Usfan. Lalu dia berkata: Wahai Kuraib, periksalah adakah manusia telah berkumpul untuknya. Lalu Kuraib pun keluar dan melihat manusia telah berkumpul, lalu aku (iaitu Kuraib) memberitahu hal itu kepada Ibn ‘Abbas. Ibn ‘Abbas berkata: Adakah jumlah mereka empat puluh orang? Kuraib menjawab: Ya. Lalu Ibn ‘Abbas berkata: Keluarkan dia (iaitu jenazah tersebut), sesungguhnya aku mendengar Rasulullah Sallallahualaihi wasallam bersabda: Tidaklah seorang muslim meninggal dunia, lalu bersolat keatas jenazahnya empat puluh lelaki yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu, melainkan mereka memberikan syafaat padanya.

Oleh itu solat jenazah perlu diberi keutamaan dan bukan hanya kepada ahli jawatankuasa masjid dan ahli keluarga sahaja.

Bagi meramaikan jumlah jemaah, golongan muda dan wanita perlu digalakkan bersama melaksanakan solat jenazah.

Banyak lagi ilmu yang diperolehi termasuk soal menjaga solat yang menjadi tiang agama perlu disebarkan bukan hanya dalam kalangan keluarga, bahkan kepada seluruh masyarakat.

Kini berbaki tiga hari sahaja lagi untuk para jemaah wukuf di Padang Arafah. Marilah kita semua berdoa agar urusan haji kali ini berjalan lancar dan para jemaah beroleh haji akhbar yang mabrur dan menjadi agen perubahan masyarakat.

 

(Visited 383 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button