BN belum boleh anggap selesa menang PRN Johor – Annuar Musa
MUAR 27 Februari – Kelebihan bukan milik Barisan Nasional (BN) sebaliknya jentera parti perlu lebih berhati-hati apabila senario Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor melibatkan banyak parti yang bertanding.
Sebaliknya kata Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, pertandingan yang melibatkan antara enam, lima dan empat penjuru dengan lebih daripada 10 parti bertanding adalah satu cabaran baharu buat BN.
Menurutnya, jentera parti tidak boleh menganggap pertandingan melibatkan ramai calon sebagai kelebihan untuk BN menang selesa dalam PRN Johor.
“Cabaran baharu ini sebenarnya menuntut jentera parti menyusun lebih gerak kerja sepanjang tempoh dua minggu ini.
“Tiada parti boleh menganggap mereka ada kelebihan kerana penentu kemenangan adalah bergantung kepada jentera parti mendekati pengundi sebanyak mungkin.
“Sewaktu saya menjadi Pengarah Biro Politik menghadapi sembilan Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini untuk kita memastikan pengundi putih keluar sehingga 90 peratus pun payah,” ujarnya.
Beliau berucap pada majlis penyampaian test kit Covid-19 di Bilik Gerakan PDM Bukit Naning malam tadi.
Yang turut hadir Calon BN Bukit Naning, Datuk Mohd. Fuad Tukirin.
Mengulas lanjut Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, untuk BN menang jentera parti perlu bekerja keras dan berkorban sepanjang tempoh berkempen untuk bertemu sebanyak pengundi yang boleh.
Selain itu katanya, perincian data sikap pengundi amat penting untuk menilai kecenderungan pengundi dan ia harus dilaporkan dengan tepat.
Beliau mengambil contoh pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) data sikap yang tidak berdasarkan fakta tepat menjadi punca BN tumbang dan kehilangan tampuk pemerintahan.
“Data yang diperolehi mengatakan BN menang dengan majoriti 2/3 tetapi apabila keputusan diumumkan BN kalah teruk jauh daripada apa yang dimaklumkan,” ujarnya.