BMW Group Malaysia memperkukuh tenaga kerja khusus Kenderaan Elektrik
Dengan Persijilan Pakar Voltan Tinggi BMW
BMW Group Malaysia sedang melahirkan pakar berkemahiran tinggi dalam lapangan Mobiliti Elektrik menerusi program Persijilan Pakar Voltan Tinggi BMW yang diiktiraf di persada antarabangsa.
Selain memperkayakan landskap kenderaan elektrik (EV) di Malaysia menerusi rangkaian infrastruktur pengecasan yang serba ekstensif, pengenalan persijilan ini juga bermatlamat untuk mengiringi kemajuan mobiliti elektro sejak barisan kenderaan BMW i yang terbaharu dirungkaikan pada awal tahun ini.
Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkongsi, “Di BMW Group, kami percaya bahawa masa depan kita akan berlandaskan elektrik. Sejak BMW Group Malaysia julung kali merungkaikan BMW i di negara ini pada tahun 2015, kami telah membayangkan Malaysia akan mendakap mobiliti elektrik dan telah bekerja keras untuk menunaikan visi ini.”
“Kami memahami halangan yang terpaksa dihadapi oleh rakyat Malaysia dalam penerimagunaan EV, seperti isu jarak operasi misalnya, yang kami sedang tangani dengan memperluaskan infrastruktur EV di seluruh negara. Pada masa yang sama, servis dan pembaikan juga menjadi pertimbangan, dan kami ingin memberi jaminan bahawa para pelanggan boleh berlapang dada dalam perihal pemilikan jentera BMW i mereka.”
Tambah beliau, “Justeru, keperluan para pakar yang berkelayakan dalam lapangan Mobiliti Elektrik bersertakan sokongan jaringan pusat pengedaran kami adalah mustahak sebagai persiapan kepada pengelektrifikasian dan pengenalan BMW i di Malaysia. Kami kekal komited untuk membangunkan lebih ramai bakat-bakat tempatan dengan kepakaran bertaraf tinggi yang diiktiraf secara global.”
Pakar Voltan Tinggi BMW merupakan kakitangan berkemahiran khusus yang akan berurusan dengan kenderaan elektrik BMW di aras yang tertinggi. Dijalankan di Pusat Latihan Serantau BMW.
Group yang terletak di Malaysia, program tersebut yang memperakui Pakar Voltan Tinggi BMW membolehkan khidmat servis dan pembaikan kenderaan BMW i yang tercanggih ditawarkan di seluruh dunia.
Untuk menjadi Pakar Voltan Tinggi BMW, individu berkenaan haruslah diperakui sebagai Juruteknik Voltan Tinggi BMW terlebih dahulu, yang perlu melalui proses prapemilihan terdiri daripada penilaian ilmu pengetahuan serta temu duga.
Individu tersebut juga harus mendapatkan sijil pertolongan cemas dan menjalani pemeriksaan kesihatan. Kemudian, mereka akan menjalani latihan intensif selama 15 hari, dan harus lulus dua ujian teori serta empat ujian praktikal untuk mara ke peringkat yang seterusnya. Ia disusuli dengan ujian teori yang terakhir serta demonstrasi praktikal melibatkan operasi voltan tinggi untuk memperoleh sijil tersebut yang akan disimpulkan dalam tempoh 10 hari lagi.
Untuk BMW Group Malaysia, Persijilan Pakar Voltan Tinggi BMW merupakan tonggak yang penting dalam mendukung pembangunan sebuah ekosistem yang matang di Malaysia di mana EV dapat terus berkembang maju.
Dengan meningkatnya bilangan kenderaan BMW i yang menyusuri jalan raya Malaysia, tahap aksesibiliti yang lebih tinggi ke atas barisan pakar BMW yang berperakuan ini memastikan Pengalaman Pemilikan Elektrik Bertaraf Premium dapat dibekalkan dengan standard yang tertinggi buat semua pemilik kenderaan BMW i.
Kredit: EnjinDotCom
Artikel berkaitan > BMW Group Malaysia umum harga rasmi bagi fasiliti BMW i–Charging