Nasional

Menteri agama pandang serius penyiaran Jalur Gemilang tidak sempurna

KUALA LUMPUR: Perbuatan menyiarkan bendera tidak sempurna oleh media merupakan perbuatan yang mencedera sensitiviti negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, beliau memandang serius isu penyiaran imej Jalur Gemilang tanpa lambang bulan sabit yang telah disiarkan di muka hadapan sebuah akhbar tempatan baru-baru ini.

“Perkara ini bukan sahaja menyentuh sensitiviti rakyat, bahkan mencabar nilai simbolik dan semangat patriotik yang telah sekian lama terpahat dalam jiwa rakyat Malaysia berbilang bangsa dan agama.

”Saya menjunjung kasih atas titah penuh hikmah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang menegaskan bahawa bendera adalah lambang kedaulatan dan identiti sesebuah negara, justeru tidak boleh sama sekali dipersendakan atau diperlakukan secara cuai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata beliau, seruan Seri Paduka Baginda supaya setiap pihak, khususnya media, lebih peka dan bertanggungjawab dalam memastikan ketepatan bahan siaran wajar dijadikan pedoman.

“Jalur Gemilang bukan sekadar kain bercorak, tetapi lambang perjuangan, kemerdekaan dan maruah negara yang mesti dipertahankan bersama.

”Saya menyeru agar semua pihak, termasuk institusi pendidikan, badan media dan organisasi masyarakat madani, memperkukuh usaha mendidik rakyat mengenai makna dan nilai simbol negara, selari dengan prinsip Malaysia MADANI yang mengangkat hikmah, hormat dan tanggungjawab bersama,” katanya.

Baca: Bendera lambang kedaulatan negara, tidak boleh dipersenda

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button