NasionalNegeri

Bina karektor unggul pelajar dengan ‘Perlis Centric’ – Raja Muda

Membina karektor unggul pelajar Perlis adalah tindakan utama yang perlu dilaksanakan untuk memastikan tagline ‘Rakyat Perlis Hebat, Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Segala Tindakan’ berjaya direalisasikan.

Peribadi pelajar yang bersifat ‘Perlis Centric’ wajar dimulakan dengan memastikan pelajar melaksanakan perkara-perkara yang positif, proaktif serta mudah dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

Perbuatan seperti mengucap dan menjawab salam, mempraktis etika penggunaan tandas, amalan beratur, membersihkan sisa makanan, membersihkan kelas dan mempunyai sikap berani serta bernas untuk bertanya dan menjawab soalan adalah contoh karektor pelajar Perlis.

Amalan-amalan yang bersifat ‘Perlis Centric’ tersebut harus diamalkan secara ‘standard’ di semua sekolah.

Karektor positif ini diharap akan dapat menonjolkan identiti umum pelajar Perlis yang lebih positif.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyampaikan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bernilai RM700
secara tunai, beras serta bekalan makanan mentah pada setiap asnaf terpilih.

Ia terdiri daripada Mohamad Bahari, 76 dan Som Muhamad, 81 yang tinggal di Kampung Baru Jalan Kaki Bukit serta Desa Mat Saman, 80 di Kampung Pondok.

Sumbangan tersebut adalah sempena program kayuhan berbasikal ‘MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf’ bilangan ke-68 bagi tahun 2022 baru-baru ini.

Hadir sama mengiringi Baginda, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Tuanku Syed Faizuddin dalam titah turut merujuk kepada kejayaan masyarakat Jepun menerapkan nilai murni kepada rakyat mereka adalah kerana sistem pendidikan mereka terlebih dahulu menerapkan nilai yang baik terhadap peribadi pelajar sebelum sukatan pelajaran formal diperkenalkan.

Raja Muda yakin dengan langkah pertama itu memerlukan komitmen daripada semua pihak dan sewajarnya inisiatif untuk memperkenalkan Karektor Pelajar ‘Perlis Centric’ wajar mendapat sokongan semua pihak. – SM

(Visited 180 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button