Bila negara lemah dari dalam
PENGALAMAN membuat liputan di negara yang pernah bergolak seperti Thailand, Mesir, Sudan dan banyak lagi menyedarkan penulis betapa keamanan yang ada di tanah air sendiri perlu dipertahan dan dipulihara sebaik mungkin.
Jika sekali berlaku, ia bukan mudah untuk dipulih.
Ada negara yang sampai sudah tidak pernah aman dek pergaduhan dan sengketa sesama sendiri.
Mereka yang menjadi mangsa adalah rakyat marhaen dan yang tetap untung adalah politikus kerana sentiasa ada sahaja bahan untuk meraih sokongan.
Malangnya, di Malaysia kebelakangan ini, wujud fenomena tangan gatal memuatnaik status di laman sosial yang sering mencari pasal dengan menyentuh sensitiviti agama, kaum dan sehingga ke tahap memperlekeh kedudukan Yang Dipertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.
Sebahagiannya terdiri daripada generasi X pula (1965-1980), Y atau Millennial (1981-1994) dan Z (1995-2010) yang banyak bergantung dengan gajet dan media sosial dalam aktiviti harian tidak peka mengenai isu ini.
Kreativiti apakah yang dimaksudkan sehingga sanggup “mengusik” perasaan majoriti seperti yang dilakukan aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza ke atas Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Melayu sendiri yang merendah kedudukan raja-raja Melayu dan yang menyuarakan sokongan selepas beliau ditahan adalah pemimpin parti politik yang begitu dikenali kerana sentimen anti Melayu.
Perkara sebegini berulang kali berlaku.
Status sesuka hati dengan tujuan menglamorkan diri dengan mendapat “like” yang tinggi dan “follower” yang ramai.
Antara perkara yang paling mudah adalah membangkitkan sensasi terhadap institusi yang menjadi tonggak atau simbol kenegaraan kerana mereka yang pro dan kontra memberi reaksi, sekaligus akan menyumbang kepada trafik di media sosial.
Individu dan kumpulan sebegini adalah pengacau yang perlu dipandang serius pihak berkuasa tanpa mengira latar belakang kedudukan dan fahaman politik kerana jika dibiarkan, dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum, agama dan budaya, ia boleh menjadi bom masa.
Perlu ditekankan, konflik sesebuah negara tidak berlaku secara mendadak atau sekelip mata kerana ia mengambil masa dan realitinya kita sedang ke arah itu jika ia tidak ditangani dengan serius di bawah peruntukan undang-undang yang ada.
Anasir-anasir subversif seperti ini adalah “virus” yang kononnya menggunakan penafsiran kebebasan demokrasi, kesaksamaan hak asasi manusia, kesamarataan peluang ekonomi dan macam-macam lagi alasan yang direka cipta untuk menarik perhatian bagi menyuarakan rasa tidak puas hati minoriti tertentu.
Itu contoh orang muda.
Ada juga generasi tua bangka yang tidak menjadikan pengalaman masa lalu, seperti Peristiwa 13 Mei 1969 yang menjadi detik hitam dalam sejarah pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat majmuk sebagai pengajaran.
Bahkan komunis yang pernah membunuh 2,473 terbunuh orang awam dan 1,883 anggota keselamatan sepanjang 12 tahun darurat (1948-1960), cuba dijulang sebagai wira negara.
Bagi yang merasakan diri mereka terkongkong berada di sini dan tidak henti-henti merungut tanpa menyumbang kepada kemakmuran, mereka lebih sesuai berada di negara ketiga.
Idea anda mungkin sepadan dengan aspirasi di Barat, Taiwan, Hong Kong atau mana-mana tempat yang kononnya mengamalkan demokrasi bebas.
Silakan…
Kami di sini ingin hidup aman makmur dengan keunikan masyarakat majmuk yang pelbagai agama dan budaya. – SM