Belang Bertempat

‘Bila Brutus tikam Caesar’…busuk ikan mulanya di kepala?

BELANG BERTEMPAT

KELMARIN ada yang `paraphrase` kepada Belang petikan Shakespeare dalam lakonan `Julius Caesar`.

“Bukanlah aku kurang sayang kepada orang Melayu, tetapi aku lebih sayang kepada Malaysia”.

Namun Belang ingin sebutkan, tokoh Rom yang menyatakan “It is not that I love Caesar less, but that I love Rome more”, adalah Brutus, anak angkat Caesar. Brutuslah yang bersama-sama dengan Casca, Cassius dan konco-konco komplotnya telah menikam dan membunuh Caesar.

Apabila Brutus menikam Caesar, bapa angkatnya memandang mata Brutus dan berkata: “Et tu Brute”, “Engkau pun Brutus”, lalu Caesar jatuh dan menghembuskan nafas terakhir.

Apakah kita boleh menjadikan Brutus sebagai contoh? Orang politik kerap memberi alasan yang `noble` apabila melakukan yang salah.

Demikianlah apabila ada pihak cuba mengatakan sebarang seruan ke arah kesatuan Melayu dianggap rasis atau perkauman. Mana-mana tokoh atau pihak yang menyeru digemblengkan kesatuan umat Melayu akan terus dilabel rasis termasuk oleh segelintir Melayu-Muslim sendiri.

Dalam banyak ketikanya, Belang mengagumi kesatuan kaum Cina untuk mencorakkan politik Malaysia mengikut hasrat yang mereka kehendaki.

Dan tidak ada salahnya orang Melayu mencontohi sentimen seumpama ini. Bak kata pepatah Inggeris: “Imitation is the best form of flattery” (Peniruan adalah bentuk sanjungan yang tertinggi).

Di ambang pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) lepas, kaum Melayu-Muslim berpecah kepada empat golongan iaitu UMNO, Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) atau Bersatu dan PKR serta Amanah.

Inilah kelemahan kaum Melayu-Muslim sendiri dalam era moden yang tidak dapat menguruskan perbezaan.

Atau barangkali permainan pihak-pihak tertentu yang melaksanakan amalan ‘pecah dan perintah’.

Secara kasarnya dari keputusan PRU-14 boleh dianggarkan UMNO memiliki 42% sokongan kaum Melayu-Muslim, Pas (33%), Bersatu (15% ) dan PKR/Amanah (10%).

Tanggungjawab pemimpin Melayu iaitu tanggungjawabnya terhadap bangsa, agama dan negara jauh lebih besar daripada pihak lain.

Bukanlah niat Belang untuk memperkecilkan peranan pemimpin kaum-kaum lain tetapi Melayu adalah tunjang, adalah teras bagi Malaysia. Lemah orang Melayu, lemahlah Malaysia, tidak stabillah.

Belang imbas kembali ungkapan Dr. Mahathir suatu ketika pada 1995 dalam perhimpunan agung UMNO sewaktu beliau presiden parti tersebut:

“Puncak biasanya tidak luas. Tidak ramai yang boleh berada di puncak seperti mana ramai yang terdapat di bahagian bawah puncak dan di dataran. Oleh itu, jika ada pergelutan di puncak, tentu akan ada yang jatuh ke bawah. Tetapi mungkin juga semua akan terjatuh kerana pergelutan di puncak.

“Dalam perjuangan manusia, puncak tidak ditetapkan. Ia boleh ditentukan oleh pejuang sendiri. Dengan itu ada bangsa yang naik tidak begitu tinggi dan sampailah mereka ke puncak gunung perjuangan mereka. Kemudian mereka tidak boleh naik lagi.

“Ada bangsa lain yang tidak mampu mendaki gunung perjuangan sama sekali, bahkan tidak mempunyai niat atau cita-cita untuk mendaki ke mana-mana dan oleh itu terus tinggal di bawah, di dalam lembah.

“Tetapi ada bangsa yang bergerak sebagai satu pasukan, menyusun langkah secara teratur dan tertib, mempunyai ketua yang mendahului pasukan yang merintis, menebas dan menebang jalan yang selamat untuk dijejak oleh ahli-ahli pasukannya, tidak lupa akan mereka yang di belakang dan di bawah serta bergerak berhati-hati secara terancang. Bangsa yang berpasukan yang tertib ini pasti akan dapat sampai ke puncak perjuangan yang lebih tinggi.

“Bangsa yang tertib dan berpasukan kukuh ini, bangsa yang tidak berebut-rebut ketika mendaki dan semasa berada di puncak, bangsa yang mulia budayanya, akan menjadi bangsa yang agung, bertamadun tinggi, dihormati dan disegani.”

Pemimpin atau mereka yang jurang fakulti pemikirannya agak dangkal dan tidak meluas akan mudah dikuasai oleh golongan batu api ini dan akhirnya menjadi mangsa olahan sendiri.

Benarlah kata-kata lama: busuk ikan bermula di kepala, bukan di ekornya. Gajah berlaga sama gajah, pelanduk tersepit di tengah-tengah. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button