Rencana

Bila beruk pun bengang dituduh perangai macam beruk

Apabila Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah membeli lukisan beruk, babun, cimpanzi dan katak bersidang di Dewan Rakyat, ramai orang politik tersinggung.

Pelbagai hujah mereka berikan kerana sultan menyokong lukisan yang menghina Dewan Rakyat yang mulia.

Sebagai sultan, baginda dituduh bertindak tidak wajar kerana menyokong perlakuan sebegitu. Orang-orang politik ini bagaimanapun tidak berani menyerang sultan secara terang-terangan, sebaliknya memberi pelbagai kiasan kerana mereka sedar kesannya jika menghina raja dan sultan yang dilindungi oleh Perlembagaan dan undang-undang.

BACA: Kalau dilelong: Puad nak beli lukisan beruk, babun, cimpanzi bersidang di Parlimen

Bahkan lebih berat lagi mereka menuduh sultan cuba masuk campur urusan pemerintahan negara.

Namun ada juga seorang dua penulis upahan yang menulis sesuka hati mengecam tindakan sultan berkenaan dan pastinya pihak berkuasa sedang meneliti perbuatan tersebut.

Persoalannya mudah sahaja, jika sedar dewan itu mulia mengapa berperangai seperti beruk? Jika tidak mahu dilabel sebagai beruk, mengapa berperangai seperti beruk?

Tun Dr. Mahathir Mohamad dua kali menjadi perdana menteri dan puluhan tahun tempoh pemerintahan beliau, tidak pula perlu berkelakuan seperti beruk.

Jadi apa yang mahu dicapai oleh ahli politik dengan berkelakuan seperti beruk, babun dan cimpanzi ini?

Jawapannya mudah sahaja mereka mahu menunjukkan kepada rakyat bahawa mereka berani berhujah dan berdebat di Parlimen.

Jika selama ini tidak disiarkan secara langsung persidangan Parlimen, tidak pula ahli-ahli parlimen ini berkelakuan seperti primat.

Apabila persidangan disiarkan secara langsung melalui media sosial dan media elektronik, mereka semakin menjadi-jadi.

Untuk maklumankan ahli politik yang belum sedar, lukisan itu sebenarnya menggambarkan pandangan majoriti rakyat negara ini terhadap orang politik.

Ada yang mencadangkan lukisan itu perlu dibakar. Mengapa perlu dibakar lukisan itu kerana ia menggambarkan sejarah hitam politik negara dan bakal dijadikan rujukan generasi akan datang bahawa negara ini pernah melalui detik hitam dan memalukan.

Memang benarlah pepatah Melayu yang mengaitkan perbuatan semberono sedemikian dengan ‘Apabila Beruk Mendapat Bunga’. Ada juga seperti ‘Monyet Terkena Belacan’.

Jika anda tidak berkelakuan seperti beruk, mengapa anda perlu terasa. Tidak perlulah menunjukkan setiakawan dan kompak dalam hal yang buruk, tetapi bersatu, berpadu dan bersekutulah soal membangunkan negara dan menyantuni rakyat.

(Visited 336 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button