Nasional

Bil meroket! TNB bukan Ah Long!

BIL elektrik TNB tinggi adalah benar. Pembaca meter tidak baca meter sebab PKP benar.

Diskaun bil TNB hingga 50 peratus juga benar. Pembayaran bil boleh dibuat secara ansuran benar dan tiada pemotongan bekalan elektrik tempoh PKP hingga PKPP juga benar.

Bil meningkat mendadak

Bil elektrik pengguna meningkat antara 25 hingga 40 peratus sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan peningkatan penggunaan elektrik.

Peningkatan penggunaan elektrik menyebabkan bacaan bil akan masuk dalam tarif blok kedua atau ketiga.

Ini kerana bacaan bil yang diperkenalkan Tenaga Nasional Bhd (TNB) berdasarkan sekatan tarif.

Berdasarkan penggunaan, maka bil akan menjadi tinggi kerana penggunaan pelanggan meningkat.

Semakin banyak penggunaan elektrik, semakin tinggi bilnya kerana sekatan tarif dibuat seperti itu.

Blok tarif pertama adalah untuk 200kWh penggunaan elektrik pada kadar 21.8 sen; blok 100kWh kedua pada 33.4 sen dan 300kWh blok ketiga pada 51.6 sen.

Diskaun 50 peratus bil

Pengguna menjimatkan penggunaan elektrik dan terus menikmati diskaun bil tenaga pada kadar 50 peratus bagi penggunaan tenaga di bawah 200 kilowatt, 25 peratus antara 201 dan 300 kilowatt dan 15 peratus antara 301 dan 600 kilowatt.

Kerajaan juga memutuskan untuk memberi diskaun dua peratus kepada semua pengguna lain dalam kategori perdagangan, perindustrian dan pertanian spesifik serta pengguna domestik bagi penggunaan elektrik pada tempoh itu.

Meter tidak dibaca

Memang benar pembaca meter tidak membaca meter sepanjang PKP kerana rungutan pengguna sendiri yang bimbang petugas berkenaan akan menyebarkan virus COVID-19.

Oleh itu TNB memutuskan untuk tidak menghantar pembaca meter. Jadi bacaan dibuat dengan kaedah anggaran.

Bermakna bil terakhir bulan Februari digunakan sebagai asas anggaran bil bulan Mac, April dan Mei.

Selepas ini barulah dibuat bacaan sebenar dan jika terdapat lebihan caj akan direbat dan sebaliknya jika berkurangan akan perlu dibayar untuk penyata bulan seterusnya.

Bagaimanapun bagi premis yang telah dipasang meter pintar, bacaan boleh dibuat dari ibu pejabat.

TNB turun padang

TNB juga berjanji untuk turun padang dengan menyediakan kaunter bergerak selain bagi menerima aduan orang ramai yang keliru yang masih keliru dengan bil prorata berkenaan.

Ini adalah kerana pengguna sukar dan tidak gemar untuk ke kedai TNB selain sukar mendapat tempat meletak kenderaan, juga terpaksa menunggu lama untuk berurusan kerana perlu mematuhi pelbagai SOP PKPP.

TNB bukan Ah Long

Suruhanjaya Tenaga serta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli ada dua pihak yang berkuasa dalam menentukan kadar tarif elektrik di negara ini.

TNB hanya pihak pelaksana kepada semua arahan dua pihak berkuasa berkenaan, walaupun ia sebuah syarikat yang melaksanakan perniagaan monopoli.

TNB juga memperkenalkan mempromosikan Pelan Bayaran Mudah (PBM) yang menawarkan pengecualian surcaj pada pembayaran lewat dan lanjutan penangguhan pemotongan bekalan kepada 7.5 juta pelanggan.

Menurutnya, secara teknikal, TNB adalah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan dikawal selia oleh kerajaan, maka sebarang perubahan harga tenaga perlu mendapatkan kelulusan dan nasihat kementerian berkenaan.

Pengajaran buat TNB

Pengajaran oleh TNB adalah, walaupun langit runtuh sekalipun pembaca meter perlu keluar membaca meter.

Atau memasang meter pintar di seluruh negara dan bacaan boleh dibuat tanpa kehadiran pembaca meter.

Dan ini juga memudahkan TNB untuk memotong bekalan dengan hanya menekan butang di ibu pejabat tanpa perlu bergaduh dengan pengguna.

Pengajaran buat kerajaan

Jangan membuat kenyataan secara umum kerana majoriti pengguna hanya membaca tajuk berita dan membuat andaian mereka mendapat diskaun 50 peratus bil.

Sedangkan kadar diskaun diberi mengikut kadar penggunaan, semakin tinggi penggunaan semakin kuranglah diskaun diperolehi.

Dan masih juga mahu mengumumkan diskaun 50 peratus, buat secara ikhlas iaitu secara pukal, tanpa berlapis-lapis pengiraan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button