Kecek

Beza Erdogan dengan pemimpin Arab

KENYATAAN Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan yang Ankara mengharapkan hubungan lebih baik dengan Israel telah dimanipulasi pihak tertentu.

Sedangkan apa yang disuarakan telah disertakan dengan syarat yang jelas, di mana beliau menegaskan sebarang usaha ke arah itu perlu meletakkan kepentingan rakyat Palestin sebagai keutamaan.

“Dasar mengenai Palestin adalah keutamaan kami. Ia adalah mustahil untuk kami menerima dasar Israel mengenai Palestine. Dasar tidak berperikemanusiaan mereka tidak dapat kami terima”, kata Erdogan selepas menunai solat Jumaat.

Namun begitu beliau mengakui, sebarang usaha menjadikan hubungannya lebih baik dengan Tel Aviv tidak mudah kerana kerana mempunyai masalah dengan “pemimpin atas” di Israel. Jelasnya lagi, keadaan amat berbeza jika tidak membabitkan mereka yang berkenaan.

Kenyataan itu dilihat merujuk kepada pemimpin parti Likud, Benjamin Netanyahu yang menjadi Perdana Menteri Israel sejak 2009.

Pemimpin berusia 71 tahun itu dianggap sebagai punca yang mengorbankan 10 aktivis pro Palestin, termasuk rakyat Turki yang cuba memecahkan sekatan jalan laut yang dibuatnya ke atas penduduk Gaza.

Ekoran kejadian Mavi Marmara, pada 2010, Ankara bertindak memutuskan hubungan diplomatik. Ia keputusan tegas yang dibuat Turki selepas menjadi negara Islam pertama yang mengiktiraf kewujudan Israel pada 1949.

Pada 2016, hubungan dipulihkan semula namun dua tahun kemudian sehingga sekarang ia kembali “dingin” apabila ia bertindak mengusir diplomat Israel ekoran pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan tentera rejim Zionis ke atas rakyat Palestin di sempadan Gaza.

Sebagai tindak balas, Tel Aviv mengambil langkah yang serupa dengan menghalau diplomatnya. Sepanjang pentadbirannya, Erdogan dilihat pemimpin Islam yang paling lantang mengkritik dasar Tel Aviv termasuk “emak ayamnya” Amerika Syarikat terhadap rakyat Palesitin.

Bahkan berterusan menempelak usaha keras yang dilakukan Washington mempengaruhi pemimpin Arab untuk “normalisasi” hubungan diplomatik dengan Israel, yang dilihatnya satu permainan untuk membelakangkan isu sebenar Palestin.

2020 menjadi tahun malang bagi rakyat Palestin kerana empat negara Arab yang bersaudara dengan mereka telah berjaya dicucuk hidung untuk mengiktiraf negara Israel di tanah Arab yang dirampasnya.

Sedangkan Turki yang telah ada hubungan diplomatik dengan Israel sejak 71 tahun lalu menetapkan syarat yang jelas akan “berbaik” seandainya segala isu serta tuntutan mengenai hak rakyat Palestin diselesaikan.

Ini yang membezakan Erdogan dengan pemimpin Arab. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button