Bersyukur, terima kasih kepada kementerian dapat nikmati sarapan PPRMT
ZAMAN alam persekolahan pastinya akan kekal dalam ingatan. Bukan hanya dapat belajar dan bermain bersama-sama dengan rakan-rakan, tetapi kini sebahagian daripada murid yang layak, dapat menikmati sarapan sebelum memulakan sesi pembelajaran di kelas.
Sejumlah 4,000 murid sekolah rendah di 100 sekolah seluruh negara, teruja menikmati sarapan menerusi inisiatif Program Penambahbaikan Rancangan Makanan Tambahan (PPRMT), yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan mulai hari ini.
Bernama melaporkan, rata-rata pelajar terbabit menzahirkan rasa kesyukuran tidak terhingga dan berterima kasih kepada Kementerian Pendidikan, memandangkan mereka terdiri daripada golongan kurang berkemampuan yang ada ketikanya terpaksa mengikat perut, dan tidak mengambil sarapan pagi.
Di PULAU PINANG, seorang murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Jelutong Barat, Mohd Afiq Danish Azizan berkata, dia kini tidak perlu berasa risau untuk bersarapan, malah ia ibarat satu kelegaan buat dirinya yang hidup dalam serba kekurangan.
“Memang lega dapat makan sebelum masuk kelas, sebab keluarga tak mampu nak sediakan sarapan pagi buat kami tujuh beradik setiap pagi,” kata anak keempat daripada tujuh beradik itu ketika ditemui di kantin sekolahnya.
Murid Tahun Lima di sekolah sama, S. Manisha berkata sebelum ke sekolah, beliau hanya akan minum air dan makan roti sahaja.
“Ibu sudah tiada, hanya ayah akan sediakan sarapan sebelum ke sekolah. Tapi saya gembira sebab dapat makan dengan kawan-kawan sebelum masuk kelas setiap hari,” katanya.
Di SELANGOR, pelajar SK Jeram Batu 20, Muhammad Aiman Bin Azlan, 12, berkata program PPRMT telah mendorongnya untuk datang awal ke sekolah.
“Saya pun tidak bersarapan di rumah… hari ini kami bukan sahaja dapat makanan yang sedap, tetapi kami juga diajar untuk kemas sendiri bekas makanan yang diberikan dan mengemas meja selepas makan,” kata anak nelayan itu.
Di PERAK, murid SK Datin Khadijah, Nah Huang Ching, 9, yang ceria menikmati sarapan paginya berkata dia hanya minum susu sebagai sarapan pagi.
“Pernah sakit perut sebab lapar, tapi tunggu waktu rehat untuk makan, bila waktu rehat saya dapat Rancangan Makanan Tambahan (RMT). Dapat makan nasi ayam, nasi lemak dan macam-macam,” katanya.
Guru Besar sekolah itu, Hamisah Hussain berkata dengan adanya program berkenaan, beliau berasa lega kerana pelajar yang tergolong dalam keluarga kurang berkemampuan ini dapat bersarapan pagi.
“Kadang kala ketika perhimpunan pagi ada pelajar jatuh… satu faktornya kerana mereka tidak bersarapan pagi dan kebanyakannya yang sebegitu dari keluarga kurang berkemampuan. Bagi saya secara peribadi memang sangat membantu murid-murid di sini,” katanya.
Di KUALA LUMPUR, pasangan kembar, Wong Zhi Hin dan Wong Zhi Jun, 7, dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Salak South, turut teruja menikmati juadah nasi lemak, bihun goreng, pisang dan air Milo yang disediakan di sekolah itu.
“Makanan sedap… Esok nak lagi air Milo, sebab selalu makan roti di rumah,” kata Zhi Hin.
Di NEGERI SEMBILAN, M.Inthiran,11, dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Batu Hampar boleh menarik nafas lega kerana tidak perlu mengikat perut di sebelah pagi sehingga waktu rehat.
“Biasanya saya bersarapan pagi sekeping roti kosong di rumah dan kadang-kala tidak sempat untuk bersarapan. Saya hanya diberikan wang saku sebanyak 50 sen untuk membeli sebiji kuih pada waktu rehat atau sebelum pulang ke rumah di Taman Chembong Jaya.
“Saya bukan hidup dalam keluarga yang senang dengan mak bekerja sebagai pengawal keselamatan dan ayah pula bekerja sendiri dengan gaji yang tidak menentu. Jadi agak sukar untuk saya berbelanja berlebih-lebihan di sekolah,” kata anak ketiga daripada empat beradik itu.
Di PAHANG, murid Tahun Empat, Intan Nursoleha Roslan, 10, dari SK Temin berkata beliau kebiasaannya tidak bersarapan di rumah, kerana perlu keluar seawal 6.30 pagi untuk ke sekolah bersama bapanya yang akan terus ke tempat kerja selepas itu.
“Saya sudah terlalu lama tidak bersarapan sebelum ke sekolah… mungkin sudah beberapa tahun sehingga terbiasa tidak makan awal pagi dan hanya membeli nasi pada waktu rehat supaya lebih kenyang.
“Hari ini, saya lihat makanan yang diberikan agak berat. Mungkin saya akan masih kenyang semasa waktu rehat dan hanya perlu beli kuih. Lebih murah dan wang selebihnya boleh disimpan dalam tabung,” katanya.
Di TERENGGANU, murid SK Jerong Nur Khalisah Mohd Noor Azlin,10, berkata program berkenaan membolehkannya menjimatkan duit wang saku yang diberi ibu.
“Biasa ibu akan beri wang saku RM2 hingga RM5. Kalau dapat RM5, mak suruh bawa balik RM1 untuk simpan dalam tabung, jadi saya akan belanja RM4 sahaja…kali ni boleh simpan duit lebih banyak. Syukurlah ada sarapan percuma untuk saya setiap pagi,” katanya.
Di JOHOR, murid SK Pekan Layang-Layang, Afiez Asyraf Asrul Azli, 11, menyatakan rasa gembira dapat bersarapan dengan rakan-rakann di sekolah, kerana sebelum ini dia jarang-jarang bersarapan dan hanya akan makan pada waktu rehat sahaja.
“Pada hari ini saya makan nasi lemak dengan kawan-kawan yang lain dan tidak sabar untuk menunggu hari esok untuk bersarapan lagi esok,” katanya.
Seorang lagi murid J. Jenneyfer, 11, berkata dia dimaklumkan oleh guru berkenaan kebaikan bersarapan pagi dan rasa bertuah apabila terpilih dalam program ini, sekali gus dapat mengamalkan amalan pemakanan sihat dengan bersarapan.
Di KELANTAN, murid Tahun Empat SK Panggong V. Tashwin Jay tidak menyangka menu yang dihidangkan pada hari ini sangat sedap.
“Selepas ini saya dapat menumpukan perhatian terhadap pelajaran yang diajar oleh guru ketika berada dalam kelas, “ kata anak sulung daripada empat adik beradik.
Di SARAWAK, bagi Nur Fazniey Fitri, murid Tahun Empat SK Tambirat, kebiasaannya setiap pagi dia hanya makan roti dan minum Milo bagi mengelakkan rasa lapar sewaktu sesi pembelajaran.
Namun pagi ini, menu sarapan paginya agak istimewa, iaitu nasi goreng, telur dadar dan buah tembikai yang disediakan pihak sekolah.
DI SABAH, tinjauan Bernama di SK Tanjung Aru, Labuan mendapati suasananya seperti biasa dengan kesemua murid yang layak menerima bantuan itu berkumpul dan berbaris menunggu giliran untuk bersarapan bersama rakan-rakan lain.
Menurut guru besarnya Faridah Amit, program ini banyak membantu murid-murid sama ada yang tidak sempat bersarapan atau tiada makanan untuk bersarapan belajar dengan bukan ‘perut kosong’ dan kekal bertenaga.
– BERNAMA