Nasional

Najib jangan nak sibuk isu taman tema MAPS

BEKAS perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak diingatkan supaya memberi fokus kepada kes mahkamah yang dihadapinya dan ‘tidak sibuk’ terhadap isu taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Ahli Parlimen Pekan itu, tidak mempunyai maklumat terperinci mengenai situasi sebenar dihadapi MAPS.

“Najib tidak ada maklumat lanjut tentang apa yang berlaku di MAPS sebenarnya. Jadi, saya ingatkan kepada beliau untuk fokus kepada masalah yang dihadapinya, untuk mempertahankan diri beliau di mahkamah.

“Datuk Seri Najib jangan bimbang, kerana pada masa ini kerajaan negeri masih ada kebolehan untuk menguruskan MAPS. Lebih baik beliau bimbangkan apa masalah yang dihadapinya,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Notis 5A Rancangan Penempatan Tersusun (RPT) Bemban dan majlis penyerahan hak milik RPT Papan di Arena Square, dekat Ipoh, hari ini.

Beliau yang ditemui pemberita diminta untuk mengulas kenyataan Najib, berkenaan MAPS menerusi laman Facebook pada semalam.

Najib dalam status Facebooknya pada 29 Dis lalu menyarankan Khazanah mengambil alih MAPS daripada kerajaan negeri Perak, sebagai langkah menghidupkan semula MAPS yang diibaratkan sebagai nyawa-nyawa ikan.

Malah, semalam Najib sekali lagi memuat naik status mengenai MAPS yang menyatakan kerajaan Pakatan Harapan salah strategi dan salah urus MAPS. – BERNAMA

(Visited 156 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button