Politik

Bersatu tolak sertai semula Pakatan Harapan – Dr .Radzi Jidin

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menolak menyertai semula Pakatan Harapan (PH), kata Ketua Penerangannya, Senator Dr. Mohd. Radzi Md Jidin.

Tegas beliau, ia selaras dengan keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu sebagai badan eksekutif tertinggi parti dalam mesyuaratnya 23 Februari lalu yang memutuskan parti keluar daripada pakatan itu dan tidak lagi mempunyai sebarang hubungan kerjasama dengan gabungan tersebut.

Kenyataan yang dikeluarkan beliau hari itu bagi menjawab dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Parti Amanah, Mohamad Sabu yang memberi gambaran seolah-olah Bersatu berminat untuk menyertai semula PH.

“Bersatu ingin menegaskan bahawa kenyataan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang menyeru ahli-ahli Bersatu supaya bekerjasama semula dengan PH adalah pendirian peribadi beliau dan tidak melambangkan pendirian rasmi parti.

“Sebarang usaha untuk membawa Bersatu bekerjasama dengan PH adalah bercanggah dengan keputusan rasmi parti.

“Bersatu juga ingin menegaskan bahawa Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak mempunyai kuasa untuk menandatangani Kenyataan Bersama PH, Bersatu dan Parti Warisan Sabah bertarikh 4 Mei 2020 dan ia adalah satu tindakan yang bercanggah dengan pendirian parti,” kata Mohd Radzi.

Beliau menjelaskan, menjadi tanggungjawab setiap ahli untuk sentiasa mematuhi keputusan yang dibuat oleh parti serta melaksanakan dasar-dasar parti.

Kata beliau: “Saya ingin mengingatkan mana-mana ahli yang ingkar termasuk dengan sengaja menyertai gabungan parti-parti lain yang bercanggah dengan pendirian parti adalah tergugur keahliannya secara serta-merta menurut Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu.

“Oleh itu, setiap ahli hendaklah sentiasa mematuhi pendirian rasmi parti yang telah dibuat secara kolektif mengikut kaedah dan saluran yang selaras dengan perlembagaan parti.” – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button