Bersatu Terengganu akan menentang UMNO di semua kawasan Parlimen, DUN
PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu menegaskan akan bertanding di semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Bersatu berikrar akan menggerakkan jentera mereka untuk merampas dua kerusi Parlimen dan 10 kerusi DUN yang dimenangi UMNO.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, keputusan itu dibuat selepas UMNO mengumumkan tidak akan kerjasama dengan parti itu bagi menghadapi PRU-15.
“Kita akan berbincang dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar untuk meletakkan calon Bersastu menentang calon UMNO terutama di dua kerusi parlimen dan 10 kerusi DUN itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selepas majlis penyampaian sumbangan ‘Kembali Ke Sekolah’ di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Gajah, di Chukai hari ini.
Katanya, mereka akan berbincang mengenai perkara itu selepas jawatankuasa Bersatu negeri bersetuju meletakkan calon menentang UMNO pada PRU akan datang.
Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu yakin mereka tidak akan menghadapi masalah walaupun UMNO tidak bersama Bersatu dan PN pada PRU15.
Malah beliau berterima kasih dengan sikap terbuka dan keputusan UMNO itu.
“Kita tidak ada masalah dan sebagai ahli politik, pilihan raya adalah kerja kita,” katanya