Politik

Bersatu Sabah jangan mimpi tanding 45 kerusi

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diingatkan jangan bermimpi untuk bertanding 45 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Ketua Penerangan UMNO Shahril Sufian Hamdan berkata, tindakan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan parti itu mahu bertanding 45 kerusi bukanlah satu cara untuk bersahabat dengan UMNO.

Jelas beliau, tindakan Hajiji itu juga bukanlah satu langkah yang berlandaskan kebijaksanaan atau keikhlasan.

“Cadangan kepada PPBM Sabah: Kalau nak bersahabat dengan UMNO, buat cara bersahabat. Kita boleh berbincang.

“Kita boleh berunding. UMNO Sabah punyai autonomi menentukan hal calon dan kerusi yang ditandingi. Tetapi kalau sebelum berunding pun PPBM sudah ghairah mengiklan hasrat bertanding 45 daripada 73 kerusi, itu bukan langkah berlandaskan kebijaksanaan atau keikhlasan,” tegas Shahrir.

Hajiji dalam satu kenyataan hari ini menegaskan Bersatu mahu bertanding 45 kerusi dalam PRN Sabah.

“Kita sudah bersiap-sedia dan mengenal pasti 45 kerusi DUN yang akan ditandingi calon Bersatu,” katanya,

Menurut beliau, Bersatu Sabah akan bermesyuarat minggu depan mengenai persiapan jentera parti di setiap kawasan DUN Sabah.

“Bandingkan dengan kenyataan SUA BN, Tan Sri Annuar Musa (lampiran). Sudah tentu UMNO ada cita-citanya berlandaskan kekuatan parti dalam menjayakan agenda rakyat Sabah, tetapi cita-cita itu disulami kebijaksanaan dengan mengambil langkah menghormati proses perundingan,” tegas Shahrir.

Menurut Shahrir, dia yakin Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar  Radin dan pasukan UMNO Sabah akan mengurus lanskap terbaru itu dengan bijaksana.

Shahrir berkata, keutamaan UMNO adalah memperkasa agenda rakyat di Sabah di samping memperjuangkan maruah UMNO Sabah yang terus diangkat berasaskan kesetiaan pemimpin dan ahlinya .

“Untuk PPBM Sabah: dalam senario politik mutakhir, berfikirlah dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan atau bertindak kerana setiap tindakan itu akan memberi kesan sampai ke akar umbi, dan tidak terhad ke Sabah sahaja,” kata Shahrir memberi ingatan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu Bersatu menang sembilan daripada 60 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dipertandingkan pada PRN Sabah yang akan diadakan tidak lama lagi.

PRN Sabah diadakan selepas Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran DUN pada Khamis lalu, beberapa jam selepas bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman mendakwa blok pembangkang memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri baharu.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button