Bersatu parti beriltizam, tolak budaya kleptokrat
PERJUANGAN menolak budaya kleptokrat membuatkan BERSATU sebagai sebuah parti poklitik yang beriltizam. Atas asas penubuhan dan menjadi teras perjuangan Bersatu, tiada siapapun yang menunding jari menyalahkan parti ini apabila asas perjuangannya turut merangkumi agama, bangsa dan negara.
Demikian kata Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada Persidangan Agung Tahunan Srikandi dan Armada Bersatu, hari ini.
Beliau dalam ucapannya juga berkata, dalam membuat persiapan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Bersatu semestinya bersedia untuk melakukan muhasabah dan penilaian diri.
“Bukan sahaja Srikandi dan Armada tetapi untuk seluruh kepimpinan parti termasuk diri saya sendiri dan hari ini, saya boleh memilih untuk menyusun agenda yang besar dan hebat,” katanya.
Menyentuh tentang konsep keseimbangan kuasa atau balance of power, kata Ahmad Faizal, geopolitik dan isu-isu baharu mesti ditangani dengan kembali kepada asas.
“Sepanjang tempoh enam tahun yang lalu ini, kita sebenarnya sedang diuji oleh Allah SWT daripada sebuah parti politik biasa berhadapan dengan gelombang kekuasaan dan keutuhan wang ringgit.
“Kita menempuh halilintar ujian politik luar biasa. Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT kebersamaan kita mengiringi ‘gelombang kebangkitan rakyat’ yang akhirnya memungkinkan kita beroleh kemenangan dan kedudukan,” jelas beliau.
Dalam diberikan jawatan dan kedudukan, beliau turut mengingatkan bahawa itu juga adalah ujian dan sebahagian daripada yang diberikan jawatan dan kedudukan, jangan lupa kepada asas perjuangan Bersatu.
“Bayangkan dulu kita tidak ada jawatan, sekarang ada dan Allah uji kita,” katanya sambil menambah, harus cepat menolak segala kelemahan yang melalaikan.
Ahmad Faizal turut mengajak semua ahli menggunakan pentas yang ada ini untuk mengukuhkan semula nilai politik dalaman parti.
“Kita perlu berbalik kepada asas dan teras perjuangan kita. Kita perlu menghargai jentera akar umbi parti kerana mereka adalah nadi kekuatan kita.
“Kita perkukuhkan kemesraan dan semangat kekeluargaan sesama kita, perlu jujur dan ikhlas dengan diri sendiri,” katanya. – SM