MahkamahNasional

Bersatu jadi mangsa “pendakwaan terpilih” – Muhyiddin

PRESIDEN Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa parti itu menjadi mangsa “pendakwaan terpilih” selepas ketua penerangannya, Wan Saiful Wan Jan didakwa atas dakwaan rasuah.

Pada sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, FMT melaporkan, bekas perdana menteri itu berkata, setiap parti memerlukan dana untuk beroperasi dan ini termasuk dana daripada penyokong korporat.

Beliau berkata, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) juga menerima dana daripada penyokong dan beliau mempersoalkan mengapa pemimpin mereka tidak didakwa di mahkamah?

“Kami sebenarnya telah menjangka ini akan dilakukan oleh kerajaan PH-BN untuk melumpuhkan Bersatu selepas melihat sokongan yang semakin meningkat kepada Perikatan Nasional (PN),” tegas pengerusi PN itu.

Muhyiddin berkata, perlembagaan Bersatu membenarkan dana dikutip daripada orang ramai termasuk individu yang menyokong perjuangannya.

“Ini termasuk dana daripada penyokong korporat,” katanya.

Tambah beliau, sehingga kini, tiada undang-undang khusus mengenai pembiayaan politik digubal di Malaysia.

Muhyiddin mempersoalkan mengapa parti dalam PH dan BN tidak mengalami nasib yang sama memandangkan mereka turut menerima dana daripada orang ramai termasuk ahli perniagaan.

Beliau berkata, isu ini dimainkan oleh kerajaan perpaduan kerana ia dilihat “gagal menyelesaikan masalah rakyat dan akan ditolak pada PRN akan datang”.

Muhyiddin juga mendakwa, kerajaan PH-BN akan “dihukum” pada PRN atas “niat jahatnya” memburu pihak-pihak tertentu.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, beliau berasa sedih apabila Bersatu diheret ke mahkamah dan berharap agar Wan Saiful mendapat perbicaraan yang adil.

Beliau menasihatkan ahli Bersatu agar tidak mengambil sebarang tindakan drastik yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

“Pemimpin parti telah pun mengambil tindakan sewajarnya melalui saluran undang-undang,” katanya. – SM

(Visited 242 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button