NasionalParlimen

Arahan PM: Terus siasat individu disebut dalam Pandora Papers

KALAU ada yang masih samar-samar pemahaman tentang Pandora Papers, ia diterbitkan pada tahun 2021. Pandora Papers mendedahkan transaksi golongan elit dan korup yang menyembunyikan aset bernilai beberapa trilion dolar AS dalam pelbagai akaun luar pesisir.

Berdasarkan laporan Pandora Papers ini, mereka dilapor mengambil langkah tersebut, antara lain bertujuan mengelak membayar cukai.

Pandora Paper mendedahkan, antara pemimpin politik tempatan yang disebut dalam laporan itu melibatkan Tengku Zafrul Aziz, Yamani Hafez Musa, Ahmad Zahid Hamidi, Daim Zainuddi dan Pengerusi Eksekutif Westports, G Gnanalingam.

Di Dewan Raykat hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beberapa individu dipanggil bagi memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkait siasatan Pandora Papers.

Anwar memberitahu Dewan Rakyat, pihak berkuasa dan badan yang terbabit iaitu SPRM, LHDN, Bank Negara Malaysia (BNM) serta polis sedang menunjukkan kesungguhan mereka mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana ahli politik yang disebut dalam laporan berkenaan.

“Semua yang lari daripada cukai, yang melanggar daripada undang-undang itu sedang disiasat dan beberapa tindakan sudah pun diambil.

“(Tetapi) sebelum pendakwaan dibuat saya tak boleh beri penjelasan lebih daripada itu namun saya beri jaminan dari sudut badan-badan yang telah melapor kepada saya, arahan daripada saya itu jelas.

“Jangan ambil sambil lewa tindakan ini dan biarlah ia sebagai pengajaran dan negara tidak mampu lagi mengizinkan hal ini diteruskan,” katanya menjawab soalan tambahan Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian).

Anwar ketika mengulas lanjut berkata, tindakan pendakwaan hanya dilakukan berdasarkan bukti dan fakta.

“Kalau ada bukti, ada fakta maka tindakan diambil. Kalau tindakan diambil tanpa fakta maka itu boleh dicabar sebagai penyalahgunaan kuasa ataupun dikatakan motif politik,” katanya. – SUMBER FMT – SM

(Visited 281 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button