Bernama Radio, ManisFM jalin kerjasama terbitkan ‘Khabar Pantai Timur’
MAJU selangkah lagi. Mulai 3 September, pendengar Bernama Radio dan ManisFM akan disajikan dengan program bual bicara iaitu ‘Khabar Pantai Timur’ yang mengetengahkan isu semasa, perniagaan dan keusahawanan.
Program bual bicara yang menonjolkan kisah kejayaan usahawan ini merupakan hasil kerjasama antara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Husa Network Sdn. Bhd., yang bakal dimeterai hari ini, di Wisma Darul Iman, Terengganu.
Melalui kerjasama tersebut, program ‘Khabar Pantai Timur’ akan bersiaran selama setengah jam, setiap Khamis, 7.30 pagi di Bernama Radio dan ManisFM, selama 13 minggu.
Selain menampilkan kisah kejayaan usahawan terutama usahawan muda yang terlibat dalam bidang pertanian dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), program berkenaan turut memberi peluang kepada pendengar untuk berkongsi pandangan secara langsung.
Kerjasama antara kedua-dua stesen radio tersebut merupakan cetusan idea Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah agar ManisFM yang bersiaran di Kelantan, Pahang dan Terengganu dapat memantapkan lagi kandungan program berkaitan perniagaan dan keusahawanannya.
Selain penerbitan program bual bicara, dua petugas ManisFM akan diberi peluang menjalani latihan penghasilan program di Bernama Radio, Wisma Bernama, Kuala Lumpur.
Manakala ManisFM akan menyiarkan program keusahawanan terbitan Bernama Radio di stesennya.
Bernama Radio yang dilancarkan pada 3 September 2007 dimiliki sepenuhnya oleh Bernama, memfokuskan pada laporan berita terkini dan sejak 1 Okt 2019, ia menampilkan konsep baharu yang memberi tumpuan berita dunia perniagaan, khususnya Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
Dengan tagline ‘Stesen Berita Bisnes Anda’, Bernama Radio menyiarkan berita-berita terkini dan program temu bual serta perbincangan yang memfokuskan kepada hal ehwal semasa, keusahawanan dan pembangunan perniagaan melibatkan usahawan yangt akan berkongsi pengalaman mereka dalam dunia perniagaan.
ManisFM yang beroperasi sejak 1998 pula, merupakan stesen radio swasta pertama di Pantai Timur yang dimiliki oleh syarikat pelaburan Kerajaan Negeri Terengganu, Terengganu Incorporated Sdn Bhd dan dikendalikan Husa Network Sdn Bhd.
Stesen radio dalam bahasa Melayu yang bersiaran selama 24 jam itu bercirikan tempatan, interaktif, menyediakan gabungan kandungan hiburan dan maklumat dengan menampilkan pengisian Islamik secara santai dan segmen bersama usahawan. – SM