fbpx
Nasional

Tiada keperluan naikkan kompaun kesalahan Covid-19

CADANGAN Kementerian Kesihatan (KKM) menaikkan kadar kompaun kepada RM10,000 berbanding RM1,000 bagi kesalahan berkaitan penyebaran Koronavirus (Covid-19) adalah tidak perlu.

Hal demikian kerana, kadar penyebaran pandemik itu tidak seburuk negara jiran apabila Malaysia tiada jumlah jangkitan melebihi dua angka dicatatkan.

Malah jangkitan harian yang dilaporkan juga berada dalam peratusan yang kecil.

Justeru, cadangan meningkatkan kadar kompaun juga dipersoalkan keadilannya sama ada menghukum atau memberi pengajaran.

“Apakah yang ingin kita capai di sini? Adakah kita pasti dengan ‘memberi pengajaran’ (hukuman) kepada pesalah adalah keutamaan di Malaysia?


“Dalam pelaksanaan undang-undang, kita harus memastikan bahawa hukuman yang dikenakan setimpal dengan kesalahan tersebut.

“Adakah kita bertindak di luar keadilan atau didorong oleh asas hukuman dengan tujuan memberi pengajaran?

“Contoh, virus itu menjangkiti 5 daripada 1 juta penduduk dan membunuh 0.00039% daripada jumlah populasi di negara ini.”

CARMELO FERLITO

Kata Ketua Pegawai Eksekutif Center for Market Education Sdn Bhd, Carmelo Ferlito seperti dilaporkan portal Free Malaysia Today hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas cadangan menaikkan kompaun bagi kesalahan di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

Ini kerana menurutnya, perbandingan pesalah dihukum kerana melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) adalah antara 10 hingga 20 kali ganda lebih tinggi berbanding jumlah kumulatif kes Covid-19.

Cadangan itu disahkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah yang memaklumkan angka pindaan itu telah dikemukakan kepada Parlimen.

Namun katanya, ia akan mengambil sedikit masa untuk diluluskan.

Dalam pada itu, Carmelo turut mencadangkan negara membuka semula pintu sempadan bagi merancakkan kembali sektor ekonomi terutama pelancongan.

Katanya, sekatan sempadan bukan penentu dalam membendung penularan virus Covid-19 sebaliknya saringan boleh dilakukan bagi menyekatnya.

“Menutup sempadan sangat mempengaruhi industri pelancongan, makanan dan minuman, dengan ratusan ribu orang kehilangan pekerjaan.

“Kita memerlukan lebih banyak koordinasi dan politik harus memainkan peranan utama sebagai penghubung pihak berkepentingan.

“Berbanding strategi pembukaan perjalanan kepada negara zon hijau yang rumit, adalah lebih baik kerajaan melaksanakan protokol mudah seperti melakukan ujian saringan sebelum masuk ke Malaysia.

“Selain itu meminta pengunjung yang masuk mendapatkan insurans perubatan bagi mengawal penularan Covid-19 masuk ke negara ini,” jelasnya. – SM

(Visited 2 times, 1 visits today)

Show More

Mohamad Athir Ismail

Berpengalaman lapan tahun dalam bidang kewartawanan termasuk penerbitan majalah, surat khabar dan portal berita. Sebelum menyertai Suara Merdeka, beliau pernah berhidmat di pelbagai syarikat penerbitan. Berminat meneroka bidang kewartawanan untuk perniagaan.

Related Articles

Back to top button