Nasional

Berita gembira dari Thailand, PM perhalusi cadangan buka sempadan

BANGKOK – Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Thailand minggu ini dijangka membawa ‘khabar gembira’ mengenai pembukaan semula sempadan darat Thailand-Malaysia.

Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel berkata, lawatan tiga hari atas jemputan Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha itu, adalah yang pertama sejak beliau dilantik sebagai perdana menteri Ogos lepas.

Ini juga kunjungan pertama perdana menteri Malaysia ke negara itu sejak wabak Covid-19 melanda dunia dua tahun lalu.

Jojie berkata, antara agenda perbincangan semasa lawatan itu termasuk pembukaan semula sempadan darat, kerjasama dua hala serta meneroka peluang perdagangan dan pelaburan pasca Covid-19.

“Bakal ada berita baik (mengenai pembukaan semula sempadan darat). Sudah ada beberapa cadangan.

“Pegawai kanan dan jawatankuasa teknikal akan membincangkan butiran mengenai pembukaan semula,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri majlis makan malam Tahun Baharu Cina Kelab Malaysia Thailand (KMT).

Jojie berkata, turut akan dirundingan ialah mengenai pengiktirafan sijil vaksinasi dari kedua-dua negara.

Ismail Sabri dijadual mengadakan lawatan kerja ke Bangkok dari 24 hingga 26 Februari.

Minggu lepas, timbalan jurucakap Kementerian Luar Thailand, Natanu Nopakun berkata, kerajaan merancang untuk membuka semula sempadan Thailand-Malaysia pada Mac bertujuan meningkatkan kedatangan pelancong, memandangkan pelancong Malaysia merupakan kumpulan terbesar pelawat ke Thailand sebelum pandemik Covid-19.

Beliau berkata, Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) dan Pusat Operasi Kecemasan Pelancongan (EOC) telah diarah merangka dan menggariskan langkah mitigasi pandemik untuk pembukaan semula wilayah sempadan selatan di pusat pemeriksaan Songkhla, Narathiwat, Yala dan Satun.

Natapanu berkata, pelancong dari negara jiran Malaysia akan memasuki Thailand melalui program ‘Test & Go’ tanpa kuarantin. Bagaimanapun, pengembara perlu lulus dua ujian RT-PCR Covid-19 pada hari pertama ketibaan dan pada hari kelima.

Sebelum pandemik, Thailand merekodkan hampir 40 juta pelawat termasuk 4.1 juta pelancong Malaysia pada 2019.

Mengenai Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina KMT, presiden KMT, Datuk Bobby Tai berkata, ia adalah untuk memberi peluang rakyat Malaysia merasai menyambut perayaan seperti berada negara asal terutamanya mereka yang tidak dapat pulang kerana pandemik.

Kira-kira 80 rakyat Malaysia menghadiri majlis itu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan Thailand.

KMT ditubuhkan oleh sekumpulan rakyat Malaysia kira-kira 31 tahun lalu, bertujuan mengekalkan identiti Malaysia di Thailand selain untuk memupuk persahabatan keluarga Malaysia yang tinggal di negara ini. – Bernama

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button