Berhentilah kecam polis – pengasas Hot Burger
PENGASAS Hot Burger, Mohd Asri Hamid meminta orang ramai berhenti mengecam pihak polis susulan pendedahan pusat judi menerusi videonya yang tular semalam.
Menurut Mohd. Asri, pegawai dan anggota polis adalah permata harapan untuk membanteras aktiviti jenayah dan kegiatan haram yang lain.
“Tolonglah berhenti kecam polis. Mereka ini harapan kita. Mana yang tidak elok itu kita biarkanlah dan kita bantulah polis dalam menjalankan tugas mereka.
“Sebab hendak membanteras isu judi atau maksiat ini adalah peranan bersama,” katanya menerusi siaran langsung yang disiarkan di Facebook Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), hari ini.
BACA> Judi haram Sungai Buloh: SPRM sudah hubungi PDRM
Menurut Mohd. Asri, persatuan penduduk, ahli kariah masjid kena sama-sama berpakat untuk membanteras hal-hal maksiat.
Orang muda katanya perlu sering dilibatkan kerana mereka mempunyai maklumat berkaitan dengan kegiatan-kegiatan haram di kawasan sekeliling mereka.
Semalam, video rakaman Mohd. Asri itu tular di laman sosial dan rata-ratanya mula mempersoalkan kredibiliti pihak berkuasa dalam mambanteras isu perjudian.
Namun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memberi jaminan tindakan segera akan diambil untuk membanteras kegiatan judi dan penjualan rokok seludup di kawasan Sungai Buloh.
Menurut Abdul Hamid, pihaknya juga sudah memulakan tindakan sebaik sahaja video pendedahan mengenai kegiatan perjudian itu ditularkan di laman sosial.
BACA> Penafian polis buktikan pusat judi kebal
Sementara itu, Abdul Hamid hari ini memuatnaik sekeping gambar yang memaparkan perjumpaan antara beliau dan Mohd. Asri.
Abdul Hamid turut merakamkan ucapan terima kasih di atas kesudian Mohd. Asri untuk hadir bertemunya di Bukit Aman hari ini. -SM