Melaka Grand Ramadan Bazar (Melgrab) Jalan Hang Tuah, Melaka di sini menawarkan hadiah cabutan bertuah sebuah kereta Proton Persona 1.6L cvt bernilai hampir RM50,000 dan 10 hadiah misteri.
Penganjur Melgrab, Muhammad Fikri Mohd Ali berkata, pengunjung boleh mengemukakan seberapa banyak borang cabutan bertuah dengan syarat mereka perlu mengepilkan resit berbelanja serendah RM30 sahaja untuk layak menyertai cabutan tersebut.
Menurutnya, selain hadiah utama sebuah kereta, pengunjung juga turut berpeluang untuk memenangi sebuah motosikal Yamaha Ego Avantiz bernilai hampir RM10,000 serta empat hadiah misteri yang lain jika berbelanja RM10 di Hang Boba.
Katanya, pihaknya mengekalkan tradisi hadiah kereta ditawarkan untuk cabutan bertuah bagi tahun kedua penganjuran bazar ini serta pelbagai hadiah misteri dan tahun ini keseluruhan hadiah yang ditawarkan bernilai RM80,000.
Beliau berkata, ini adalah usaha pihaknya untuk mengalakkan lebih ramai pengunjung membeli-belah serta memeriahkan bazar Aidilfitri di sini tahun ini.
“Tahun lepas kami bersusah-payah untuk menghidupkan semula Bazar Aidilfitri di sini yang ditutup sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua tahun sebelum ini.
“Namun tahun ini Melgrab dijangka mampu menarik ribuan pengunjung hadir di sini dengan pelbagai hadiah menarik dan aktiviti sepanjang sebulan bazar berlangsung.
“Bagi menarik kehadiran pengunjung, kami turut mendatangkan khas Ratu Rock tersohor negara, Ella untuk membuat persembahan pada majlis perasmian selain kemunculan Hazamah dan Nabilah Razali,” ujarnya kepada pemberita di sini malam tadi.
Menurut Muhammad Fikri, program keagamaan tidak dilupakan apabila pihaknya mendatangkan khas juara dunia Qasidah dari Yaman serta pengisian enam slot bagi memberkati lagi bazar tersebut.
Selain itu, katanya, pihaknya turut menganjurkan kutipan dana bagi membantu tiga madrasah terpilih iaitu Pertubuhan Kebajikan Al Muhibin, Madrasah Syeikhul Ariffien dan Madrasah Ustaz Hatta Abd. Rahim.
“Kita turut menyediakan pelbagai aktiviti seperti program bubur lambuk yang diedarkan secara percuma, badut, busking, persembahan bunga api dan sebagainya,” ujarnya.
Katanya, sebanyak 155 khemah sudah dipenuhi seluruh peniaga yang telah menjalankan perniagaan sejak satu Ramadan. – SM