Sukan

Beraksi lebih mantap jadi sasaran Hafizh di Austria

TIADA sasaran lain, melainkan untuk terus mengutip mata dalam perlumbaan berikut dan apa yang lebih penting buat pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah ialah melengkapkan saingan dalam kelompok 10 terbaik seperti mana yang dilakukannya di Sepanyol, bulan lalu dan Republik Czech, minggu lepas.

Anak muda berusia 26 tahun yang bernaung di bawah pasukan yang berpangkalan di Sepanyol, Openbank Aspar Team itu berada pada kedudukan kesembilan dalam perlumbaan Moto2 di Litar Brno.

Menjejakkan kaki di Red Bull Ring, Spielberg, Austria, menjelang kejuaraan motosikal dunia, hujung minggu ini, Hafizh sedari awal lagi mengingatkan dirinya untuk mempamerkan aksi yang lebih menyakinkan dan apa yang paling penting ialah kondisi motosikalnya juga perlu berada pada prestasi terbaik.

Hafizh berdepan isu teknikal ketika berlumba di Republik Czech sehingga menyukarkannya untuk mengejar pelumba yang berada dalam kelompok lima terbaik.

Sememangnya diakui selain bakat serta kemahiran yang dimiliki pelumba itu sendiri, prestasi motosikal amat mempengaruhi keputusan keseluruhan perlumbaan.

Hafizh dalam kenyataannya yang dipetik menerusi laman web pasukan, www.angelnietoteam.com melahirkan harapannya untuk mengorak langkah yang lebih jauh berbanding perlumbaan sebelum ini.

“Di Austria saya amat berharap dapat pergi jauh dan beraksi lebih mantap serta kompetitif sejak permulaan saingan lagi. Saya amat gemarkan litar di Red Bull Ring ini.

“Pada 2017, adalah perlumbaan terakhir saya dalam saingan Moto2, saya berlumba dengan baik di sana, dan sekarang saya mahu mempamerkan persembahan yang meyakinkan dan berupaya mengekalkan prestasi konsisten sepanjang dua minggu di Red Bull Ring,” katanya.

Selepas dua tahun beraksi dalam kancah perlumbaan MotoGP, Hafizh kini kembali bersaing di Austria dalam kategori Moto2 yang menyaksikan anak muda berasal dari Ampang Selangor itu mencatat kedudukan ke-10 dalam perlumbaan pada 2017.

Ini bermakna, sekiranya tidak berdepan masalah jentera, Hafizh berpotensi untuk meneruskan kutipan mata dan sekali gus memperbaiki pungutan keseluruhannya setelah mengumpul 17 mata untuk berada di tempat ke-14 dalam senarai pelumba Moto2. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button