Berakhirnya penantian kakitangan VSS Utusan
Oleh Mowardi Mahmud (bekas Editor Ekonomi Utusan Malaysia)
“KITA hanya merancang, tuhan yang menentukan”. Begitulah halnya dengan Utusan Melayu (M) Berhad (Utusan), antara sebuah syarikat penerbitan akhbar tertua di negara ini yang gagal bertahan dengan perkembangan masa dan teknologi baharu.
Penggulungan Utusan yang berusia 80 tahun pada tahun 2019, berlaku pantas dan di luar dugaan menyebabkan lebih 700 orang pekerja yang mengambil Skim Pemisahan Sukarela (VSS) gagal mendapat pampasan seperti yang sepatutnya.
Perancangan pembayaran lebih awal yang diunjurkan pihak pengurusan tidak kesampaian apabila memikul beban tanggungan hutang yang lebih tinggi tanpa memiliki tunai di tangan, sekali gus memaksa bekas pekerja Utusan mengharapkan jualan aset yang tidak seberapa bagi melunaskan pampasan tersebut.
Ibarat seperti ‘Sudah jatuh ditimpa tangga’, kehadiran pandemik COVID-19 menyebabkan proses penjualan aset bukan hanya perlahan tetapi juga nilai juga tidak seperti yang diharapkan.
Harapan bekas pekerja semakin berbalam dan dihantui ketidakpastian, penantian bagaikan penyeksaan kepada mereka yang terlibat.
Syarikat pelikuidasi UHY Advisory (KL) Sdn. Bhd. (UHY), berdepan kesukaran mencari pembeli terutama pembeli Melayu.
Berbekalkan sebuah artikel “Aset-aset Utusan Melayu digilai Cina; taikun Melayu menyepi diri…” yang ditulis oleh bekas Penolong Ketua Pengarang Utusan, Datuk Zaini Hassan beberapa taikun Melayu tampil respons.
Artikel itu ditulis bagi membolehkan taikun Melayu tertarik bagi membantu membeli aset-aset Utusan itu, sekaligus membantu bekas pekerja yang mengambil VSS mendapat imbuhan mereka.
Hakikatnya, bukan sedikit bekas pekerja Utusan yang mengambil VSS ketika itu berdepan kehidupan yang sudah tidak keruan selain dihantui tindakan muflis dan terpaksa bercerai-berai kerana pasangan tidak lagi bekerja.
Alhamdullilah, tokoh korporat terkenal Tan Sri Halim Mohammad (Halim Mazmin Group) akhirnya tersentuh dengan artikel itu, lantas menghubungi penulis dan bersetuju membantu kerana menghargai jasa wartawan Utusan yang pernah menaikkan nama syarikat beliau Halim Mazmin Berhad.
Pertemuan yang turut dihadiri wakil syarikat pelikuidasi membuahkan hasil apabila Halim bersetuju membeli sebahagian daripada aset utama Utusan di beberapa buah lokasi strategik dalam masa yang singkat sebelum proses tender aset ditutup. (Gambar)
Antara aset yang dipersetujui diambil oleh Halim pada masa itu adalah: Bangunan Ibu Pejabat Utusan 44 Jalan Utusan; tanah di Jalan 46M off Jalan Chan Sow Lin; Kompleks Percetakan Seri Utusan di Bangi serta Kompleks Percetakan di Gong Badak.
Tidak ramai yang mengetahui bahawa kebanyakan aset milik Utusan mempunyai sekatan kerana dicagarkan kepada institusi-institusi kewangan.
Kesediaan tokoh perkapalan itu memberikan sinar di hujung terowong meskipun perjalanan sebenar masih jauh ketika itu pada 2020.
Menyedari pentingnya bertindak dalam satu suara bagi menjaga kepentingan mereka, pada awal 2020, Zaini bersama-sama Rosmanizam Abdullah dengan beberapa orang sahabat bekas pekerja Utusan, termasuk Allahyarham Datuk Baharom Mahusin, Azizan Zakaria (Setiausaha), Marhaini Kamaruddin (Bendahari), Datuk Hassan Mohd Noor dan Mowardi Mahmud, membentuk dan mengerakkan sebuah badan bertindak tidak rasmi untuk memastikan kepentingan kakitangan VSS terbela.
Namun begitu, kata orang “Rambut sama hitam, tapi hati lain-lain”, tidak semua menyertainya hanya seramai 161 daripada 708 kerana kebanyakan mereka berbeza berpendapat tentang kewajaran menubuhkan badan bertindak itu.
Badan Bertindak VSS (BBVSS) kemudiannya ditubuhkan untuk menjadi kumpulan pendesak yang menjaga kepentingan dan pemantau kepada syarikat UHY bukan hanya mereka yang menganggotainya tetapi juga kesemua penerima VSS.
Penubuhan BBVSS ini merintis satu perjuangan baharu melalui pelantikan firma khidmat guaman Azmi & Associates, sebuah firma guaman Bumiputera terbesar di Malaysia, setelah firma guaman terdahulu Bahrain Advocates and Solicitors menarik diri kerana prinsipalnya Datuk Shamsul-Bahrain Ibrahim mengalami masalah kesihatan. (Gambar)
Setelah melantik firma guaman itu, BBVSS mula mengatur langkah strateginya untuk memastikan pembayaran pampasan kepada kakitangan VSS utusan dapat direalisasikan, lebih-lebih lagi ramai yang terkesan akibat pandemik.
Komitmen yang diberikan kumpulan peguam Azmi & Associates, terutama prinsipalnya, Datuk Azmi Mohd Ali cukup tinggi. Pelbagai perbincangan dan pertemuan dilakukan antara BBVSS dengan firma itu dan juga UHY bagi memastikan kejayaan dengan mendesak pelikuidasi menyegerakan proses penjualan dan juga pembayaran VSS.
Pada 25 Oktober 2022, satu kemenangan buat BBVSS melalui petisyen yang berwakilkan Rosmanizam Abdullah dan 160 orang yang lain, apabila mahkamah memberikan ketetapan kepada pelikuadasi Tee Guan Pian dari firma UHY Advisory (KL) Sdn. Bhd. untuk membuat bayaran sebanyak RM58,468,854.74 kepada kesemua penerima VSS.
Daripada jumlah itu sebanyak, RM18,880,296,11 dibayar kepada 161 penerima yang menggunakan khidmat Azmi & Associates sejak 10 April 2021.
Akhirnya, dalam bulan Ramadan seminggu sebelum Syawal menjadi saat bersejarah buat BBVSS dan juga bekas kakitangan VSS apabila kesemua 708 kakitangan mula mendapat pembayarannya setelah menanti selama lima tahun.
Dalam kesempatan ini, BBVSS ingin mengucapkan salam takziah kepada anggota-anggota kami yang pergi meninggalkan kami termasuk antara pengasasnya, Allahyarham Datuk Baharom Mahusin. Al-Fatihah.
BBVSS juga ingin mengucapkan terima kasih kepada UHY dan pihak-pihak yang menyokong gerakan kami. – SM
Artikel dipetik dari Bebas News
Artikel berkaitan > 600 terima VSS Utusan bersorak gembira, lain-lain bekas kakitangan berputih mata?